Buletin

LANJUTAN PKP HINGGA 14 APRIL, RAKYAT DIINGAT JANGAN BALIK KL. BEKALAN MAKANAN DIJAMIN MENCUKUPI

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Langkah itu diambil bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan 172 kes baru dicatatkan pada hari ini. Angka jangkitan juga telah meningkat lebih satu kali ganda dalam tempoh hanya seminggu kepada 1,796 kes.

Justeru, anda yang berada di kampung diingatkan supaya tidak bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu. Pejabat-pejabat yang masih ditutup tak perlu dibuka lagi.

Jika ada perkara penting yang nak diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana nak menguruskannya. Sila bertenang dan jangan panik.

Walaupun PKP dilanjutkan, anda tidak perlu membeli makanan dengan banyak kerana bekalan adalah mencukupi.

“Saya beri jaminan kepada anda bahawa makanan cukup untuk semua. Saya tahu anda semua rasa terbeban, tetapi saya tiada pilihan. Saya terpaksa melanjutkan tempoh PKP demi keselamatan anda juga.

“Tempoh kuatkuasa perintah ini akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan buat pengumuman mengenainya. Apa yang penting saya mohon supaya saudara-saudari sentiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

“Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Yang penting semua keperluan asas mestilah sentisa tersedia dan mencukupi. Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Muhyiddin.

Google ads
Back to top button