
SENGIT SAMPAI AKHIR! PERLUMBAAN GYMKHANA KBS SIRI 2 MERIAH DENGAN AKSI LUAR BIASA
Aksi lincah dan penuh gaya menghiasi Padang Kawad UiTM Shah Alam apabila Perlumbaan Gymkhana KBS Siri 2 menutup tirainya pada 18 dan 19 Oktober lalu dengan sambutan yang cukup menggalakkan.
Acara anjuran Kelab Sukan Bermotor Estrada dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta disanksi oleh Motorsport Association of Malaysia (MAM) itu berjaya menarik 43 peserta dengan 61 penyertaan merangkumi tujuh kategori, termasuk Advance FWD, Pro RWD, Open dan Female One Make Race.
Lebih 300 penonton hadir memeriahkan suasana sepanjang dua hari penganjuran, sekali gus mencerminkan minat yang semakin kukuh terhadap sukan permotoran di peringkat akar umbi, terutamanya dalam kalangan belia.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah En. Mohd Mua’zam, Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Sukan Rekreasi (KBS) dan Dato’ Mohammed Rhiza Ghazi, Timbalan Presiden MAM.
Kehadiran mereka memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan serta badan sukan nasional dalam memperkasa pembangunan sukan permotoran negara.
Penganjuran kali ini turut menyaksikan kemunculan ramai wajah baharu, termasuk peserta dari utara tanah air yang terinspirasi daripada kejayaan pusingan pertama di Juru, Pulau Pinang.

Aksi dalam kategori Female One Make Race menjadi antara tumpuan utama, selain saingan sengit bagi merebut gelaran Fastest Time of the Day, yang akhirnya dimenangi oleh Edwin Chan.
Menurut kenyataan Estrada Motorsport, pihaknya berpuas hati dengan kejayaan acara ini yang dianggap menghidupkan semula semangat Gymkhana di Malaysia.
“Sokongan padu daripada KBS, JBSN dan MAM amat kami hargai. Melihat penyertaan ramai pelumba muda dan semangat komuniti yang semakin kukuh memberi motivasi untuk kami terus memperkembangkan sukan ini,” ujar wakil Estrada.
Menjelang tahun 2026, Estrada berhasrat memperluas kalendar perlumbaan dengan lebih banyak pusingan di seluruh negara serta memperkenalkan program KLASS (Kursus Latihan dan Asas Sukan Sebenar) bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda menyertai dunia sukan permotoran secara teratur dan selamat.
GALERI:













