
YAMAHA TENERE 700 WORLD RAID 2026 DIUMUMKAN – DENGAN 6-AXIS IMU, CRUISE CONTROL
Yamaha menaik taraf Tenere 700 World Raid bagi tahun 2026 yang beri fokus dalam meningkatkan pengalaman menunggang.
Bagi tahun 2026, Yamaha menaik taraf beberapa aspek termasuk enjin CP2 689cc yang kini mencapai standard emisi Euro 5+ terbaru. Standard terbaru itu dicapai dengan mengemas kini air intake bagi memperbaiki tork pada rpm rendah. Platform tersebut kekal menawarkan 72.3hp pada 9,000rpm dan 68Nm pada 6,500rpm.

Kabel throttle telah digantikan sistem ride-by-wire yang dikenali sebagai Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T). Sistem ini menawarkan dua mod kuasa, Sport dan Explorer.
Menyokong sistem terbaru ini adalah kehadiran 6-axis IMU yang menawarkan fungsi lean-sensitive traction control, slide control dan ABS. Tayar hadapan dipadankan dengan brek Brembo dan cakera brek 282mm.

Traction control menawarkan tiga tetapan berbeza yang terdiri dari Street, Off-Road atau boleh dipadamkan sepenuhnya. ABS juga boleh dipadamkan atau hanya bagi tayar belakang bagi kegunaan off-road.
Yamaha turut mengemas kini proses pertukaran gear agar lebih lancar manakala fungsi quickshifter ditawarkan sebagai opsyen tambahan.

Dalam pada itu, tangki aluminium baharu juga kini lebih rendah dan menawarkan kapasiti 23L dengan Yamaha mendakwa mampu mencapai jarak pergerakan 500km. Walaupun tangki besar namun lebih ringan berbanding sebelum ini.
Pakej suspensi terdiri dari fork KYB 46mm dengan jarak gerak 230mm manakala KYB Monocross pula melengkapkan penyerap hentak belakang dengan jarak gerak 220mm. Yamaha turut menawarkan steering damper dengan 16-tetapan secara standard.

Selain itu, fungsi cruise control dan speed limiter juga didatangkan secara standard serta skrin TFT 6.3-inci serba baharu dengan tiga tema pilihan; Street, Explorer dan Raid.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, penghadang angin baharu, footpeg lebih besar dengan getah boleh ditanggalkan serta side-stand baharu. USB Type-C juga dibekalkan secara standard.
GALERI: YAMAHA TENERE 700 WORLD RAID 2026





























