Buletin

SIC SUDAH SEDIA ANJUR AKTIVITI PEMOTORAN – KBS

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah bersedia untuk menganjurkan sebarang aktiviti sukan permotoran dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata SIC melakukan persiapan cukup teliti dan terperinci mengikut tatacara pematuhan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), antara termasuk senarai dilarang adalah penganjuran sukan kerana ia membabitkan perhimpunan berskala besar. Semua sukan tanpa kontak seperti permotoran, sukan yang boleh diberi pertimbangan namun pihak KKM dan MKN perlu diyakinkan.

“Secara peribadi, saya optimis penganjuran sukan permotoran yang sememangnya diadakan secara berprestij di SIC akan kembali selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri,” katanya selepas sesi lawatan di SIC.

Reezal Merican berkata fokus utama kini adalah tertumpu kepada penganjuran sukan permotoran di peringkat domestik sebelum memuktamadkan mengenai status penganjuran antarabangsa termasuk perlumbaan MotoGP.

“Kami lakukannya secara berperingkat, pada waktu ini saya hendak minta dulu penganjuran di peringkat domestik. Soal kawalan sempadan bukan di bawah saya,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan SIC, sewaan trek kepada penggemar dan keluarga industri sukan permotoran merupakan elemen penting.

Justeru, SIC amat gembira dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan trek perlumbaan kembali di buka untuk latihan dan juga aktiviti ‘Track Day’ di SIC.

“Sebagai peneraju sukan permotoran di Malaysia, SIC amat menitik beratkan tentang keselamatan pekerja, pelumba, pasukan, rakan kongsi dan juga peminat.

“Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua berterusan, SIC telah mengeluarkan tatacara pematuhan yang perlu dipatuhi oleh setiap individu apabila mereka memasuki premis,” katanya.

Google ads
Back to top button