Artikel Pilihan

ILMU HITAM UNTUK LAJU DI SELEKOH

Terdapat 2 spesis pemandu yang wujud, satu spesis yang suka enjoy memandu di garisan lurus melebihi 180km/j dan memberi lampu tinggi di sepanjang laluan. Tapi sebenarnya penulis amat bosan memandu di lebuh raya. Nak laju sangat risau ada perangkap halaju. Melainkan penulis perlu sampai ke destinasi dengan cepat.

Spesis kedua adalah jenis suka memandu di selekoh. Nampak je selekoh rasa tangan menggigil. Pecut laju, cari braking point, brek, halakan muncung pada apex selekoh dan tekan semula pedal minyak. Keseronokan memandu di selekoh ini ibarat sampai rumah kena mandi wajib. Tapi ada pula kelemahan dia.

Memandu laju di selekoh sebenarnya amat terdedah dengan risiko mudah terbabas. Kebanyakan kereta moden sekarang dihasilkan dengan pacuan roda depan, maka kereta enjin di depan dan pacuan roda depan mudah terdedah dengan risiko understeer. Ye la, tayar depan juga untuk memacu kereta ke depan, tayar depan juga digunakan untuk ambil selekoh

Dua-dua fungsi diambil oleh tayar depan secara serentak jadi tak hairanlah tayar depan cepat habis. Semasa di selekoh, katakanlah semasa mengambil selekoh di sebelah kanan, tayar di sebelah kiri perlu melalu jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding dengan tayar di sebelah kanan. Anda perlu bermain dengan pedal minyak, kalau rasa ada cengkaman teruskan tekan

Kalau rasa nak understeer, lepaskan pedal minyak dan tambah input steering. Kena modulate pedal minyak. Kaedah ini lebih selamat tapi ia menyebabkan kita tak boleh memggunakan semua kuasa enjin di selekoh. Bagi menyelesaikan isu ini, komponen differential diperkenalkan. Ni kira ilmu hitam dalam kejuruteraan untuk pergi lagi laju

1. Differential – merupakan satu komponen yang dipasang pada gandar kereta bagi membenarkan kereta mengambil selekoh, dengan tayar kiri boleh berputar dengan lebih laju daripada tayar kanan dan pada masa yang sama menghantar kuasa dari enjin ke tayar. Tanpa differential, tayar kanan akan mengalami spin ketika mengambil selekoh.

Kebanyakan kereta menggunakan open differential dimana tork akan dihantar kepada tayar yang memiliki rintangan yang rendah. Dalam kes ini tayar sebelah kiri ada rintangan yang lebih rendah berbanding dengan kanan. Kelemahan sistem ini ialah, kalau tayar kiri tersangkut dalam lumpur, tayar kanan yang tidak tersangkut akan mengalami spin tanpa sebarang manfaat.

Sistem ini cenderung menghantar tork kepada tayar yang hilang cengkaman. Bagi mengatasi masalah ini Limited Slip Differential diperkenalkan.

2. Limited Slip Differential berbeza dengan differential biasa, ia masih berfungsi seperti biasa dengan membenarkan tayar kiri dan kanan berputar pada RPM yang berbeza ketika selekoh. Tapi kelebihannya ialah ia menghadkan tayar spin di laluan yang licin dan memindahkan tork daripada tayar yang hilang cengkaman kepada tayar yang ada cengkaman.

Jadi tork akan dipindahkan pada tayar yang ada cengkaman daripada tayar yang hilang cengkaman. Keadaan ini memastikan kereta dapat terus bergerak ke depan. Salah satu cara yang digunakan oleh LSD ialah dengan menggabungkan sistem klac di dalam differential.

3. Limited Slip Differential with Torque Vectoring secara asasnya ia masih lagi komponen LSD namun ia dilengkapi dengan sistem komputer bagi mengelakkan tayar spin pada permukaan jalan licin. Bukan itu sahaja sistem ini berupaya menentukan berapa tork yang perlu diagih antara tayar kiri dan juga kanan untuk cengkaman maksima semasa selekoh

4. Torque Vectoring dengan menggunakan Brek – Ketika eksperimen, jurutera menyedari brek kereta juga boleh meniru cara LSD bekerja dengan mengenakan daya brek secara individu pada tayar depan, belakang, kiri atau kanan kereta yang bertindak sebagai sauh yang akan membuatkan kereta mengambil selekoh dngan mudah

Katakanlah untuk mengambil selekoh kanan dengan mudah, sistem hanya perlu mengenakan brek pada tayar kanan dan pemandu merasakan kereta mereka ditarik ke arah kanan. Bagi kereta Volkswagen, teknologi ini dikenali dengan nama Advanced Electronic Differential Lock (XDS)

Honda pula menggelarkan sistem ini dengan gelaran Agile Handling Assist. Bagi kereta yang kecil atau kereta mewah, memiliki sistem Limited Slip Differential dengan Torque Vectoring mungkin agak berlebihan. Namun bagi meniru efek yang sama, sistem XDS lebih mudah dan senang diaplikasi

Kelebihan sistem no 2, 3 dan 4

Kebanyakan kereta kecil dan murah biasanya dipasang dengan sistem open differential (sama seperti no 1). Tayar kanan dan kiri berputar pada halaju yang berlainan di selekoh tapi tidak secanggih sistem 2, 3 dan 4. Biasnya sistem yang lebih canggih dipasang pada kereta sport yang datang dengan kuasa yang lebih tinggi.

Kereta yang dilengkapi dengan LSD, LSD Torque Vectoring dan XDS akan berasa lebih stabil di selekoh walaupun dipandu laju. Anda akan dapat rasa bahagian depan kereta akan menarik kereta ke arah kanan walaupun pedal minyak ditekan ketika selekoh. Sebagai contoh ketika menguji VW Passat B8, merasa cengkaman kereta di selekoh sangat meyakinkan

Kelemahan

Sekiranya anda memang jenis memandu perlahan, kalau pergi kerja lambat pun bos tak marah maka agak rugi menggunakan sistem yang kompleks seperti ini LSD, LSD Torque Vector dan XDS ini disebabkan sistem ini lebih kompleks ini. Kalau tak guna lepas tue rosak, lagi lah rasa panas hati.

Bagi sistem XDS yang menggunakan kaedah brek, ia akan menyebabkan pelapik brek haus dengan cepat berbanding dengan pelapik brek pada kereta biasa. Ini disebabkan pelapik brek akan berfungsi jika anda mula memecut keluar dari selekoh.

Tapi kalau anda juara Ralli 8 kali Mentakab semua ini tak perlu, sebab anda memang dah laju. Tak perlu ilmu hitam dah

Google ads
Back to top button