
SISTEM ADAS – WAJIB PASANG. X90 AMIK 3 LANGKAH KE BELAKANG?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak kereta keluarga moden terutamanya SUV dan MPV yang dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemandu (ADAS) atau Advanced Driver Assistance Systems.
Bagi sesetengah orang, ADAS mungkin kelihatan seperti teknologi tambahan yang sekadar menaikkan harga kereta. Namun hakikatnya, banyak sistem ini sebenarnya direka untuk mengatasi satu kelemahan utama manusia ketika memandu iaitu had kemampuan otak manusia memproses maklumat dalam masa singkat.
Apabila kita memandu sambil membawa keluarga terutamanya anak kecil atau bayi gangguan mudah berlaku pada pemandu. Anak menangis, anak bertanya sesuatu, atau kita sendiri terlepas pandang situasi di sekeliling. Di sinilah sistem ADAS memainkan peranan penting sebagai lapisan keselamatan tambahan.
Had Keupayaan Otak Manusia Ketika Memandu
Otak manusia merupakan sistem pemprosesan yang sangat kompleks. Secara teori, otak manusia dianggarkan mampu melakukan kira-kira 10¹⁵ operasi sesaat, jauh lebih tinggi berbanding kebanyakan komputer dalam kereta.
Namun ketika memandu, otak kita tidak fokus kepada satu perkara sahaja. Seorang pemandu pada masa yang sama perlu memerhati jalan hadapan, melihat cermin sisi dan cermin belakang, membaca papan tanda jalan, mengawal stereng dan pedal serta berinteraksi dengan penumpang
Apabila semua perkara ini berlaku serentak, masa reaksi manusia terhadap bahaya biasanya berada sekitar 0.7 hingga 1.5 saat bagi pemandu yang sangat cekap. Jika kereta bergerak pada kelajuan 100 km/j, dalam tempoh satu saat sahaja kereta sudah bergerak hampir 27 meter sebelum pemandu sempat menekan brek.
Bagaimana Sistem ADAS Membantu
Berbeza dengan manusia, sistem ADAS direka untuk melakukan satu tugas utama iaitu memantau persekitaran kenderaan secara berterusan. Sistem seperti radar, kamera dan sensor boleh mengimbas keadaan di sekeliling kereta 10 hingga 30 kali setiap saat, kemudian mengira jarak dan kelajuan objek di sekitar.
Sebagai contoh, sistem Autonomous Emergency Braking boleh bertindak balas dalam sekitar 0.1 hingga 0.2 saat, jauh lebih pantas berbanding masa reaksi manusia.
Walaupun kuasa pemprosesan komputer dalam kereta hanya sekitar 10 hingga 100 gigaflop dan lebih rendah berbanding dengan otak manusia, ia tetap berkesan kerana sistem tersebut hanya fokus kepada satu perkara iaitu mencegah kemalangan.
Dalam banyak keadaan, sistem ADAS mampu mengesan risiko kemalangan beberapa saat lebih awal daripada apa yang disedari oleh pemandu.
Sistem ADAS Yang Paling Penting Untuk Kereta Keluarga
Bagi SUV atau MPV yang sering digunakan untuk membawa ahli keluarga, beberapa sistem ADAS sebenarnya sangat penting kerana ia melindungi pemandu dan penumpang daripada kesilapan manusia yang biasa berlaku.
1. Autonomous Emergency Braking (AEB)
Autonomous Emergency Braking merupakan antara sistem keselamatan paling penting dalam kereta moden. Sistem ini menggunakan radar dan kamera untuk mengesan kenderaan atau pejalan kaki di hadapan. Jika pemandu tidak sempat bertindak, kereta akan membrek secara automatik bagi mengelakkan atau mengurangkan impak pelanggaran.
Kemalangan jenis “rear-end collision” iaitu melanggar kereta di hadapan merupakan antara kemalangan paling biasa di bandar. Kajian keselamatan jalan raya menunjukkan kereta dengan AEB boleh mengurangkan kemalangan jenis ini sehingga hampir 50 peratus.
Bagi pemandu yang membawa anak kecil, sistem ini sangat berguna kerana gangguan ketika memandu memang sukar dielakkan.
2. Blind Spot Detection
Sistem Blind Spot Detection membantu pemandu mengenal pasti kenderaan yang berada di kawasan titik buta di sebelah kereta. Ini sangat penting terutamanya di lebuh raya yang mempunyai trafik motosikal yang padat.
Lampu amaran biasanya akan menyala pada cermin sisi apabila ada kenderaan di lorong bersebelahan. Jika pemandu memberi isyarat untuk menukar lorong ketika ada kenderaan di situ, sistem akan memberi amaran tambahan.
3. Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
Bagi SUV atau MPV yang bersaiz besar, Rear Cross Traffic Alert merupakan sistem yang sangat berguna. Ini membantu mengelakkan kemalangan yang sering berlaku di tempat parkir pusat membeli-belah, di mana pandangan ke kiri dan kanan sering terhalang oleh kenderaan lain.
Apabila kereta mengundur keluar dari petak parkir, sensor radar akan mengesan kenderaan yang datang dari kiri atau kanan di belakang kereta. Jika ada kenderaan menghampiri, sistem akan memberi amaran kepada pemandu.
4. Lane Departure Warning (LDW)
Lane Departure Warning akan memberi amaran jika kereta mula keluar dari lorong tanpa menggunakan lampu isyarat. Sistem ini amat berguna ketika memandu jarak jauh, terutamanya jika pemandu mula mengantuk atau hilang fokus.
5. Lane Keep Assist (LKA)
Versi lebih canggih kepada LDW ialah Lane Keep Assist. Selain memberi amaran, sistem ini boleh membantu membetulkan stereng bagi memastikan kereta kekal di dalam lorong.
6. Lane Change Assist
Sesetengah kereta turut dilengkapi Lane Change Assist, yang membantu memantau trafik di belakang ketika pemandu ingin menukar lorong. Ini sangat membantu dalam situasi lebuh raya yang sibuk.
7. Auto High Beam (AHB)
Sistem Auto High Beam pula secara automatik menukar lampu tinggi kepada lampu rendah apabila mengesan kenderaan dari arah bertentangan. Walaupun kelihatan seperti fungsi kecil, ia membantu memastikan pemandu sentiasa mendapat pencahayaan maksimum tanpa menyilaukan pengguna jalan raya lain.
Bagi varian yang lebih canggih, ciri Adaptive Driving Beam digunakan. Ciri ini akan terus mengekalkan lampu tinggi pada kawasan gelap, tetapi menghasilkan bayang bayang pada bahagian sebelah kanan yang berselisih dengan kereta lain secara serentak
8. Adaptive Cruise Control (ACC)
Berbeza dengan sistem lain, Adaptive Cruise Control lebih kepada sistem bantuan pemanduan. Ia boleh mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan secara automatik, memperlahankan dan mempercepatkan kereta mengikut keadaan trafik.
Walaupun tidak sepenting sistem seperti AEB, ACC membantu mengurangkan keletihan pemandu ketika perjalanan jauh.
ADAS & PENARAFAN ASEAN NCAP
Peranan sistem Advanced Driver Assistance Systems bukan sekadar membantu pemandu. Dalam dunia automotif hari ini, teknologi ini juga memainkan peranan besar dalam menentukan penarafan keselamatan sesebuah kereta.
Program keselamatan serantau ASEAN NCAP kini memberi penekanan besar kepada teknologi ADAS dalam proses penilaian mereka.
Di bawah protokol penilaian 2021–2025, sistem bantuan keselamatan seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist dan teknologi pemantauan titik buta sudah dimasukkan dalam kategori Safety Assist, yang menyumbang kepada jumlah skor keselamatan keseluruhan sesebuah kenderaan.
Mulai protokol 2026–2030, penilaian ini akan menjadi lebih ketat dengan lebih banyak fokus kepada sistem ADAS. Antara teknologi yang akan diberi perhatian termasuk:
- sistem Lane Support (gabungan LDW dan LKA)
- pengembangan ujian AEB
- teknologi lampu pintar seperti Adaptive High Beam / Adaptive Driving Beam
Langkah ini diambil kerana statistik kemalangan di Asia Tenggara menunjukkan bahawa teknologi pencegahan kemalangan seperti ADAS boleh membantu mengurangkan risiko pelanggaran dengan kenderaan lain, pejalan kaki dan juga penunggang motosikal.
Dengan kata lain, untuk mencapai penarafan lima bintang ASEAN NCAP, struktur badan yang kuat sahaja tidak lagi mencukupi. Kereta moden juga perlu dilengkapi teknologi yang mampu membantu pemandu mengelakkan kemalangan sebelum ia berlaku.
Jadi apabila ciri ADAS “dihilangkan” demi menjadikan sesuatu produk itu lebih murah dan lebih banyak dijual, maka kami memandang isu ini secara serius. Adakah nyawa anda dan ahli keluarga anda perlu menjadi taruhan persaingan korporat?

