KERETA API REMPUH VAN RUSA – PEMANDU, PENUMPANG SELAMAT, SEMPAT LARIKAN DIRI
Empat lelaki berhadapan detik cemas apabila kenderaan dinaiki dirempuh kereta api berhampiran Kampung Anak, Kinarut Papar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.49 petang itu, van Perodua Rusa dinaiki empat lelaki itu mengalami kerosakan enjin semasa melalui landasan sehingga menyebabkan kenderaan mereka dirempuh kereta api.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, akibat pertembungan itu, seorang lelaki iaitu pemandu kenderaan berusia 42 tahun mengalami cedera ringan pada bahagian kepala manakala, penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan mendapati, pada pukul 6.05 petang, semasa berada pada jarak 20 meter, pemandu kereta api meyedari kehadiran sebuah kenderaan berada di atas laluan kereta api dan telah membunyikan hon semasa menghampiri ‘gate perumahan’ di kawasan tersebut.
Malah, pemandu kereta api cuba untuk menekan brek namun, kereta api gagal berhenti kerana jarak terlalu dekat hingga menyebabkannya melanggar van Perodua Rusa berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, terdapat palang bagi menutup laluan kenderaan semasa kereta api melintas. Namun, kedua-dua palang di kawasan itu tidak berfungsi sejak 2019.
“Penjaga palang iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun, bertugas menjaga kawasan tersebut didapati tidak memakai vest serta tidak menggunakan lampu isyarat tangan atau bendera isyarat tangan untuk menahan kenderaan agar tidak melintasi laluan kereta api pada waktu tersebut.
“Penjaga palang yang berada di sebelah kanan pondok hanya dapat menahan kenderaan dari satu lorong sahaja,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan keterangan pemandu van Perodua Rusa, dia tidak menyedari kehadiran kereta api semasa sedang melalui landasan kereta api tersebut. Malah, palang keselamatan juga tidak diturunkan.
Pemandu kenderaan serta tiga penumpang lain terselamat kerana sempat melarikan diri daripada van tersebut sebelum perlanggaran berlaku.
Susulan itu, polis bertindak menahan penjaga palang bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Orang awam dinasihatkan melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kes ini dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169. – Sinar Harian
- BACA: AKSI ALA GTA AKIBAT TERLEKA LIHAT KEMALANGAN JALAN RAYA – FOKUS SAUDARA FOKUS MASA MEMANDU
- BACA: PEGAWAI POLIS NYARIS MAUT DALAM KEMALANGAN DUA BMW – PANJANG UMUR ABANG NI (VIDEO)
- BACA: PEMANDU HONDA CIVIC KEMALANGAN DI GENTING HIGHLANDS ADA 11 SAMAN PANDU LAJU
- BACA: TIDUR DENGAN TENANG SELEPAS KEMALANGAN, PEMANDU DAN PENUMPANG RUPANYA POSITIF DADAH