Buletin

SKODA SLAVIA – SEDAN PREMIUM KHAS UNTUK RAKYAT INDIA

Sebelum ini pasaran kenderaan di India sememangnya dikenali dengan kereta bajet dan mesra poket rakyat di sana. Tapi entah macam mana, tiba – tiba sahaja Skoda memasuki pasaran India secara serius. Terkini, Skoda bersedia untuk memperkenalkan model sedan premium baharu, Skoda Slavia. Terima kasih kepada Projek India 2.0 yang sedang giat dijalankan.

Di dalam katalog Skoda, mereka sudah pun mempunyai model sedan premium yang dipasarkan secara global, Skoda Octavia yang cukup popular di benua Eropah. Tetapi sudah tentu jikalau hendak dipasarkan di India, setahun entah dua tiga buah aja yang terjual. Maka, model Skoda Slavia inilah jawapan bagi memenuhi kehendak segmen pasaran di India. Harga murah tapi spesifikasi boleh tahan premium.

Model sedan baharu ini dibina berdasarkan pelantar MQB-AO-IN dan merupakan model kedua yang dibina berdasarkan Projek India 2.0. Menariknya, menurut Skoda, hasil daripada projek yang dijalankan ini membolehkan kandungan tempatan bagi pembuatan model sedan ini sehingga 95%. Peratusan yang cukup tinggi sebenarnya. Dengan ini, sudah tentu permainan harga yang mampu milik akan menjadi kelebihan. Dijangkakan Skoda Slavia ini bakal menggantikan model Skoda Rapid di pasaran India kelak.

Rupa dan rekabentuk Skoda Slavia ini barangkali sekali imbas merupakan jelmaan model Skoda Octavia, tetapi versi dengan diameter sedikit kompak. Rekaan muka hadapannya kelihatan cukup anggun dan tidak keterlaluan yang dipadankan dengan gril berbentuk honeycomb. Lampu utama jenis LED dan DRL berbentuk L turut menyerlahkan sisi premum yang ada pada sedan ini.

Skoda Slavia ini turut mempunyai garis bahu yang cukup jelas bagi menyerlahkan sudut sisi sedan ini. Padanan rim bersaiz 16 barangkali kelihatan tidaklah terlalu besar dan kecil. Sedang sedang aja orang kata. Rekaan yang kelihatan eksklusif dan premium turut kelihatan pada bahagian belakangnya. Tertera perkataan SKODA di bahagian tengah bagi menggantikan logo Skoda. Potongan pilar D di belakang seakan menyerupai model Coupe, menyerlahkan lagi gaya Skoda Slavia ini.

Sisi premium model ini turut diterjemahkan di ruangan kabinnya. Selain daripada sistem infohiburan bersaiz 10 inci dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto, Skoda Slavia ini turut dilengkapi dengan bumbung suria. Barulah feel kereta mahal kan. Begitu juga tempat duduk hadapan turut dipasangkan dengan fungsi sistem pengudaraan. Mana lah tahu, panas punggung sewaktu memandu di bawah terik mentari kan.

Trenkuasa Skoda Slavia ini boleh dipilih sama ada enjin TSI 1.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 114 HP dan juga tork 175 Nm dengan pilihan kotak gear manual atau pun auto. Jikalau terasa lemau, pengguna boleh memilih enjin EVO 1.5 liter dengan kuasa 148 HP dan tork 250 Nm dan paling penting ianya turut dipadankan dengan kotak gear tujuh kelajuan DSG.

Ciri keselamatan juga turut diberikan perhatian apabila Skoda memasang enam beg udara, ESC serta sistem Multi – Collision Brake bagi memastikan keselamatan penumpang. Model sedan yang kelihatan anggun ini sebenarnya bakal dilancarkan pada awal tahun hadapan dengan anggaran harga antara ₹ 10,.00 Laks (RM56,232) dan ₹ 15.00 Lakh (RM84,348). Ianya boleh dikira murah jika dibandingkan dengan harga Skoda Octavia ₹ 26.00 Lakh (RM146,203).

BACA : SKODA KUSHAQ – SUV KHAS UNTUK RAKYAT INDIA

BACA : SKODA ENYAQ SPORTLINE iV – INI BARULAH SUV KENDERAAN ELEKTRIK YANG BERGAYA

Google ads

B K

"
"
Back to top button