SKODA KUSHAQ – SUV KHAS UNTUK RAKYAT INDIA
Memandangkan sememangnya sekarang ini musim SUV, memperkenalkan sebuah lagi SUV terbaharu daripada pembuat yang berasal dari Republik Czech ini, Skoda Kushaq. Eh kejap kejap. Macam pelik pula nama SUV Skoda ini. Dulu depa bukan dah ada nama Kodiaq dengan Kamiq ka? Hat ni depa pakai nama Kushaq pula. Mujur bukannya Kuajaq.
Skoda Kushaq ini sebenarnya merupakan sebuah model baharu yang dibangunkan sepenuhnya. Ianya model produksi pertama sebagai sebahagian daripada projek India 2.0 di bawah ŠKODA AUTO, yang berada di bawah naungan Volkswagen Group. Mereka telah melabur sejumlah Satu Bilion Euro terhadap kontinen India bagi memperkuatkan kehadiran Skoda dan juga Volkswagen di sana.
Dan model Skoda Kushaq ini telah pun dibina berasaskan daripada pelantar MQB-A0-IN yang mana asas pelantar ini daripada MQB yang khusus diadaptasikan untuk pasaran India semata. Dijangkakan pelantar MQB-A0-IN akan menghasilkan empat model untuk Skoda dan juga Volkswagen sebagai daripada projek India 2.0. Dan untuk mencapai hasil seperti itu, sebuah kilang pemasangan di Pune telah pun dibina.
Skoda Kushaq ini jelas sekali menampilkan rekaan yang lebih maskular, terutamanya bahagian hadapan dengan rekaan lampu utama dan lampu kabus berkembar atas bawah menggunakan LED. Rasanya tidak lengkap penampilan sebuah SUV tanpa body clading yang bersambung dari bampar hadapan hingga ke bahagian belakang. Begitu juga dengan rel bumbung yang turut tersedia sebagai ciri standard di samping memiliki ground clearance yang lebih tinggi.
Ruangan dalaman Skoda Kushaq ini menampilkan ciri yang lebih ergonomik, khusus untuk keselesaan pemandu terutamanya sewaktu ingin mencapai tombol gear. Lebih kurang pergerakan tangan. Sistem hiburannya pula menggunakan skirn sesentuh bersaiz 10 inci di bahagian konsol tengah. Sterengnya pula menggunaan rekaan dua kaki, kelihatan sedikit old skol tetapi masih lagi kelihatan moden dengan penggunaan butang butang kawalan di kiri dan kanan. Dan untuk menghilangkan kebas di punggung, tempat duduknya juga dilengkapi dengan sistem pengudaraan
Trenkuasa model ini diserahkan kepada dua enjin, pilihan 1.0 liter dan juga 1.5 liter yang keduanya menghasilkan kuasa diantara 115 PS dan 150 PS. Kotak gear pula hadir dengan pilihan manual enam kelajuan, auto enam kelajuan atau pun kotak gear DSG tujuh kelajuan.
Oh ya, untuk yang berasa curiga tentang nama yang pilih, Kushaq ini sebenarnya merupakan berasal daripada perkataan Sanskrit yang berusia ribuan tahun yang membawa maksud merujuk kepada Maharaja. Kalau beli kereta ni mungkin feeling dia macam Maharaja juga kot?