Artikel Pilihan

SUBARU ASCENT – BARU BOLEH SAING DENGAN ESCALADE

SHARE

Bercerita tentang SUV buatan Subaru, jenama Forester begitu sinonim dengan kita. Namun jika ingin bersaing di pasaran yang lebih besar, meletakkan Forester barangkali tidak memadai. Mereka memerlukan sebuah SUV yang jauh lebih besar. Apatah lagi untuk bersaing dalam pasaran Amerika.

BACA : CADILLAC ESCALADE – SUV MEWAH GAYA AMERIKA SEJATI

BACA : HYUNDAI PALISADE : SUV KEMEGAHAN KOREA

Pasaran Amerika sememangnya amat menggemari SUV dengan saiz serupa Emporium. Apa barang SUV saiz rumah kedai ni kan. Maka, bagi berlawan dengan SUV seperti Cadillac Escalade, maka Subaru menghadirkan Ascent sebagai jawapannya. Walaupun jawapan yang diberikan tidak beberapa tepat, tapi setidaknya inilah pilihan lain yang ada buat rakyat Uncle Sam.

Model Ascent ini mula diperkenalkan kepada umum ketika New York International Auto Show 2017 sebagai sebuah model konsep. Selang beberapa tahun kemudian, barulah produksi massa dijelmakan. Dan sudah tentu, sasaran pasarannya adalah Amerika.

Ascent ini dibina berasaskan pelantar yang baharu, Subaru Global Architecture (SGA) dan dikeluarkan di kilang Lafayette, Indiana.

Walau pun Ascent ini dilahirkan di kilang Amerika Syarikat, namun identiti keturunan dan ketuanan Subaru sedaya upaya dikekalkan. Gril hadapannya tidak terlalu besar seperti SUV gaya Amerika yang lain. Yang sedang – sedang sahaja gayanya.

Dengan jarak titik roda sejauh 2,890 mm jelas menunjukkan bahawa ini adalah model Subaru yang terbesar dalam senarai produk mereka. Dengan jarak itu, sudah tentu kerusi barisan ketiga mampu dimuatkan tanpa ada sebarang masalah. Cukup sesuai untuk dimiliki oleh sebuah keluarga.

Pilihan enjinnya juga masih lagi tidak terlalu mengikuti budaya barat. Eceh! Maklumlah, kereta di Amerika sana kebanyakkan menggunakan enjin bersaiz mega. Namun Ascent ini hanya menggunakan dengan enjin Boxer FA24 2.4 yang baharu yang turut dipadankan dengan sistem AWD yang terkenal di kalangan kereta milik Subaru.

Enjin turbo ini turut dilengkapi dengan Subaru Dual Active Valve Control System (DAVCS) yang mampu menghamburkan kuasa sekitar 260 HP dan tork 277 lb.ft. Sepatutnya tiada masalah langsung untuk SUV ini bergerak dengan lancar dan selesa. Walau pun bersaiz mega dan hanya menggunakan enjin yang boleh dikatakan kecil, namun setangki penuh mampu berjalan sehingga 500 batu jauhnya. Kira ok lah kan.

Bercerita tentang aspek keselamatan memang boleh jadi berjela juga kalau hendak disenaraikan. Tapi yang pasti, Ascent ini dilengkapi dengan ciri yang sofistikated jugalah. Sistem Driver Assist Technology yang tersedia mampu membantu mengurangkan risiko berlakunya perkara yang tidak dingini. Menariknya, sistem Reverse Automatic Braking yang turut digunakan mampu bertindak untuk memberhentikan kenderaan sekiranya ada objek yang melintas sewaktu sedang gostan.

Di bahagian kabin juga Subaru menjanjikan keselesaan tanpa perlu pembeli meraguinya sama sekali. Balutan kulit mewah, kerusi kapten di barisan kedua serta bumbung panorama sudah memadai memuaskan hati pembeli.

Dengar khabarnya Subaru Ascent ini mendapat maklumbalas yang agak positif juga buat bakal pembeli di sana. Harga yang ditawarkan untuk model premium lebih kurang USD 38,995 (RM159,119). Ikut harga kira mampu milik jugalah kan. Tapi jangan haraplah nak tengok masuk di tempat kita. Alangkan Forester tu pun dah merepek juga harga dia.

Tags
Google ads
Back to top button