SUZUKI BUAT PUSINGAN ‘U’, KEMBALI SERTAI KEJUARAAN DUNIA
Suzuki akan kembali ke pentas kejuaraan dunia setelah mengesahkan akan menyertai Suzuki 8 Hours sebagai pasukan kilang (factory) dengan jentera GSX-R1000. Pengumuman itu turut disampaikan kepada media yang menghadiri Tokyo Motorcycle Show 2024.
Suzuka 8 Hours merupakan sebahagian daripada Kejuaraan Dunia Endurance (EWC) yang turut menampilkan Kelas Percubaan (Experimental Class). Kelas tersebut melibatkan motosikal yang tidak terikat dengan norma motosikal – sebagai contoh merangkumi motosikal yang guna pakai ‘hub centre steering’.
Bagaimanapun, dalam kes ini Suzuki GSX-R1000 akan beraksi dengan fork tradisional – fork depan jenis USD – namun apa yang membezakan adalah penggunaan minyak, iaitu bahan api bukan fosil (non-fossil fuel).
Menurut Suzuki dalam satu kenyataan, mereka akan berlumba dengan bahan api E40 dari Elf. Lebih tepatm bahan api Moto R40 FIM 40 peratus sumber bio.
Namun, Suzuki masih belum mengesahkan barisan pelumba yang akan diturunkan dan dengan ketiadaan pasukan kilang di sebarang kejuaraan dunia hampir pasti mereka akan bergelut sekembalinya ke Suzuka 8 Hours.
Persoalannya, apakah keputusan di sebalik membuat pusingan U tersebut setelah mengundur diri dari MotoGP dan EWC pada 2021?
Menurut Ketua Projek Shinichi Sahara yang juga merupakan bekas ketua projek MotoGP sebelum ini, dia menjelaskan bahawa entri Suzuka 8 Hours adalah bertujuan mempercepatkan pembangunan teknologi prestasi tinggi yang mesra alam.
Suzuki akan bersaing di Suzuka 8 Hours di bawah nama Team Suzuki CN Challenge bersama rakan teknikal, Yoshimura Japan. Suzuka 8 Hours akan membuka tirai pada 19 Julai 2024.
GALERI: TEAM SUZUKI CN CHALLENGE