
SUZUKI JIMNY NOMADE BUATAN INDIA DILANCARKAN DI JEPUN TAK LAMA LAGI
Selepas sekian lama dinantikan, Suzuki akhirnya akan melancarkan versi 5-pintu bagi Jimny di Jepun. Model dikenali sebagai Suzuki Jimny NOMADE ini merupakan versi lanjutan daripada Jimny 3-pintu yang telah lama dijual di Jepun dan Eropah.
Berbeza dengan model asal yang dihasilkan di kilang Suzuki di Kosai, versi 5-pintu ini dihasilkan sepenuhnya di India oleh Maruti Suzuki.
Menurut laporan daripada portal automotif Jepun, Jimny NOMADE akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi.

Malah, imej intipan tersebar di internet menunjukkan model ini dalam warna dua tona Sizzling Red Metallic dengan bumbung hitam serta lencana “NOMADE” yang terletak pada bampar hadapan.
Tambahnya, penghantaran pertama Jimny 5-pintu buatan India telah pun tiba di Jepun dan akan didedahkan secara rasmi pada 30 Januari.
Jimny NOMADE menjadi model kedua buatan India dieksport ke Jepun selepas Suzuki Fronx yang dilancarkan tahun lalu.

Dari segi spesifikasi, model ini dijangka tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding versi yang dipasarkan di India.
Selain perubahan kecil pada lencana dan beberapa ciri rekaan, Jimny 5-pintu versi Jepun dijangka mengekalkan rangkaian kuasa yang sama.
Suzuki Jimny NOMADE akan dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter K15B dengan kuasa 105hp dan tork 137Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan pilihan transmisi manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan dengan sistem pacuan empat roda.
Tempahan untuk Jimny NOMADE di Jepun telah pun dibuka, dan lebih banyak butiran akan didedahkan apabila model ini diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat.

