SYARIKAT CHINA BERMINAT JADIKAN MELAKA HAB PEMASANGAN EV. CADANG JENAMAKAN SEBAGAI EV PERTAMA NEGARA
Beberapa syarikat antarabangsa dari China menunjukkan minat untuk menjadikan negeri Melaka sebagai hab pemasangan kereta elektrik (EV) pertama negara pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberitahu cadangan syarikat berkenaan sedang dibincang dan diteliti sebelum diputuskan dalam masa terdekat. Kehadiran industri pemasangan EV di Melaka turut membawa masuk teknologi-teknologi baharu.
“Mereka turut mencadangkan EV ini dijenamakan sebagai EV pertama kebangsaan. Jadi saya sedang meneliti cadangan berkenaan.
“Saya akan melihat dengan lebih terperinci kawasan-kawasan industri yang sesuai dengan industri pemasangan EV yang pertama di Malaysia,” katanya selepas melawat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Azmi Hussain.
Tambah Ab. Rauf, Melaka akan memberi keutamaan kepada industri automotif yang disifatkan sebagai salah satu industri terbesar dalam negeri ini. Ia telah dibuktikan menerusi penglibatan syarikat Honda yang berjaya meletakkan Melaka sebagai antara negeri yang terlibat dengan bidang pemasangan automotif.
Kerajaan negeri juga mahu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini untuk meneroka bidang aeroangkasa dan industri minyak dan gas (O&G). Justeru, PKNM bersama Invest Melaka sedang mengkaji lebih terperinci mengenai industri berkenaan bagi meningkatkan ekonomi negeri.
“PKNM dan Invest Melaka sedang mengkaji satu industri baharu iaitu aerospace untuk mencari para pelabur untuk melabur di Melaka.
“Ia susulan kejayaan CTRM (Syarikat Composite Technology Research Malaysia Sdn. Bhd.) yang menjadi pembekal komponen Syarikat Penerbangan Boeing di Batu Berendam.
“PKNM Energy pula akan mempelopori minyak dan gas di sepanjang tiga batu nautika dari Umbai ke Kuala Linggi. Industri O&G merupakan sokongan kepada industri marin yang sedang berkembang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE