Artikel Pilihan

T24A-FTS, BILA TOYOTA BUAT ENJIN TURBO UNTUK KENDERAAN PENUMPANG

Jika anda peminat jenama Toyota, anda akan perasan yang Toyota tidak akan sesekali menggunakan enjin turbo pada kenderaan penumpang. Melainkan kereta tersebut merupakan kereta sport yang dihasilkan dan dijual di bawah jenama Gazooo Racing.

Jadi kebanyakan model Toyota akan menggunakan enjin aspirasi normal ataupun bagi varian yang lebih mahal akan dipasang dengan teknologi hibrid. Bagi Toyota, hibrid adalah lebih berkuasa dan lebih efisyen berbanding dengan enjin turbo

Bagi pasaran Jepun, Toyota Alphard ditawarkan dengan 2 pilihan enjin 2.5 AR-FE dan 2.5 AR-FXE bagi versi hibrid. Hanya Vellfire pasaran Jepun akan ditawarkan dengan enjin turbo dan hibrid. Bagi pasaran negara, hanya varian Alphard sahaja menerima enjin turbo yang dikenali dengan nama enjin T24A-FTS.

Enjin 2400cc turbo ini dihasilkan bagi menggantikan enjin 3500cc V6 NA yang pernah digunakan bagi Lexus LM generasi pertama. Enjin ini menghasilkan 274 kuasa kuda dan 430Nm tork, lebih tinggi berbanding enjin 3.5 V6 yang menghasilkan 267 kuasa kuda dan 340Nm tork.

Enjin T24A-FTS ini merupakan sebahagian daripada enjin baru Toyota yang dikenali dengan nama Dynamic Force, dihasilkan dalam varian aspirasi normal, hibrid dan juga turbo dalam 3 rekaan iaitu 3 silinder, 4 silinder dan V6.

Blok enjin T24A-FTS menggunakan acuan aluminium, rekaan open deck bagi memperbaiki aliran cecair penyejuk. Aci engkol pula dipasang 10mm dari garis tengah silinder bagi mengurangkan geseran dan juga kehausan enjin dengan mengurangkan lateral force pada dinding silinder.

Rod penyambung dan alas bebola pula disalut dengan resin bagi mengurangkan lagi geseran dalaman enjin. Rod penyambung juga dihasilkan dengan menggunakan kaedah tempaan, bukannya besi tuang seperti biasa bagi menghasilkan komponen yang lasak.

Sistem pemasaan injap dikawal dengan mekanisme VVT-iE (pacuan motor elektrik), dengan keupayaan untuk mengawal pemasaan injap 50 darjah ke depan atau melewatkan pemasaan injap 50 darjah ke belakang. Sistem ini dipacu dengan menggunakan rantai dan injap pula diisi dengan sodium bagi mengelakkan masalah knocking.

Bahagian atas enjin ditutup dengan menggunakan polimer manakala penutup enjin dipasang dengan rekaan yang memudahkan pergerakan udara dari arah depan bagi mengurangkan geseran udara. Cagak enjin kiri dan kanan adalah daripada jenis hidraulik dan cagak enjin depan adalah daripada jenis aktif bagi mengurangkan gegeran daripada sampai ke bahagian kabin

Bagi menjadikan enjin lagi cekap, pam minyak pelincir adalah dari jenis boleh ubah dengan menghantar tekanan berdasarkan keadaan pemanduan. Setiap silinder menerima 2 pemancit minyak pelincir lengkap dengan sistem penapis terbina dalam. Malah minyak enjin juga disejukkan dengan kaedah sejukan cecair, bagi memanjangkan jangka hayat minyak enjin dan juga mengurangkan masalah knocking.

Sistem turbo adalah dari jenis skrol berkembar, dengan udara yang telah dipaksa masuk melalui turbo disejukkan dengan menggunakan radiator sejukan cecair. Sistem suntikan bahan api berkembar D4-S digunakan untuk enjin T24A-FTS ini

Sistem ini akan beroperasi dengan kaedah suntikan EFI biasa, suntikan bahan api terus, atau gabungan kedua dua sistem dan juga berupaya memancitkan bahan api dalam 2 ke 3 suntikan bagi setiap kitaran. Dari segi saiz, enjin ini hanya datang dengan diameter silinder 87.5mm dan lejang 99.5mm menjadikan sesaran sebenar enjin ini ialah 2393cc bagi 4 silinder

Dengan nisbah mampatan sehingga 11:1 (bagi versi turbo) dan 14:1 bagi versi aspirasi normal, enjin T24A-FTS ini boleh menjana sehingga 274 kuasa kuda dan 430Nm tork bagi Toyota Alphard. Ia hanya ditawarkan dengan transmisi 8 kelajuan automatik Direct Shift terbaru daripada Toyota

Google ads
"
"
Back to top button