Artikel Pilihan

KERETA-KERETA HEBAT BUATAN SWEDEN SEPANJANG ZAMAN

Kereta-kereta hebat buatan Sweden? Biar betul, bukan diorang cuma terer buat kereta Volvo untuk orang tua dan perabut Ikea je ke? Haa, jangan pandang sebelah mata okey, Sweden ni walaupun negaranya kecil dengan penduduk tak sampai 11 juta orang sebenarnya mempunyai warisan automotif yang cukup membanggakan sebenarnya. Mereka mempunyai bukan satu tetapi tiga jenama pengeluar kereta terkemuka di dunia termasuk Saab yang sudahpun berkubur. Dua lagi semestinya ialah Volvo yang telah diberi penjenamaan semula dan pengeluar hypercar yang digeruni lawan, Koenigsegg.

Selain daripada itu Sweden juga menawan pasaran trak dunia dengan dua jenama kebanggaan mereka, Scania AB dan Volvo AB. Nampak bas ekspress yang sering korang nampak atas highway memecut mengalahkan jentera drag tu? Itupun kebanyakannya adalah keluaran Scania. Jadi mari kita lihat beberapa kereta berpengaruh dan popular yang perbah dihasilkan Sweden.

Volvo 240 Estate

Ia mewakili Volvo generasi lama dan memang kelihatan membosankan. Ia dikeluarkan selama dua dekad dan memahat nama Volvo selaku pengeluar kereta paling selamat di dunia. Ia juga kini menjadi buruan peminat dan sekaligus menyebabkan harganya melambung tinggi berbanding model sedan.

Walaupun ia dihasilkan dengan teknologi lama, jujur cakap la jika dijaga dengan baik, model yang diberi jolokan ‘moving bricks’ ni jauh lebih selesa berbanding kereta-kereta kompak yang dibanggakan oleh budak-budak hipster dan wicet zaman sekarang.

Saab 900 Turbo

Ini merupakan kereta berkuasa turbo pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran. Ia memecah tradisi dan menjadi kereta berkuasa turbo paling berjaya satu ketika dahulu.

Cukup laju di laluan lurus dan jika anda memilih tayar Pirelli P6, ia juga memberikan lebih cengkaman di selekoh dan beraksi cukup baik untuk sebuah kereta pacuan hadapan. Jika anda merupakan usahawan muda berjaya pada hujung tahun 80-an dan BMW 3-Series nampak biasa-biasa sahaja, Saab 900 adalah alternatif yang baik.

Volvo 1800

Mazda CX30

Sejak dari dulu kecantikan bukanlah satu sifat yang sesuai untuk sebuah Volvo. Tapi sekitar tahun 1961-1973, Volvo telah menghasilkan salah satu kereta tercantik di dunia dan dinamakan P1800. Generasi lama macam Pak Amid memang kenal sangat kereta ni yang digunakan oleh Roger Moore dalam siri TV The Saint.

Walaupun ia hasil rekaan warga Sweden tetapi ia dihasilkan sewaktu perekanya bertugas di firma rekabentuk Itali, Frua. Ia kemudiannya dihasilkan di UK oleh syarikat automotif British, Jensen. Mana-manalah janji kereta ini masih sebuah Volvo dan ia memang lawa.

Saab 92

Inilah permulaan sejarah pembuatan kereta Saab setelah sekian lama bergiat dalam pembuatan pesawat terbang. Sama seperti Land Rover buatan British, ia juga cuma ditawarkan dengan warna hijau yang merupakan cat lebihan selepas perang.

Pengeluaran bermula pada tahun 1949 dengan enjin 750cc 3 selinder sejukan cecair 2-lejang. Saab segera memasuki dunia perlumbaan dengan ketua jurutera mereka sendiri Rolf Mellde bertindak sebagai pemandu. Hasilnya mereka mendapat tempat kedua kelas dan perlumbaan Swedish Rally.

Saab Sonnet

Volvo bukanlah satu-satunya pengeluar kereta Sweden yang pernah menghasilkan kereta cantik. Saab Sonnet juga dikenali dengan nama Super Sport hadir dalam tahun 1958 dan dihasilkan khusus untuk perlumbaan. Hanya enam unit dihasilkan menjadikannya buruan pengumpul di seluruh dunia.

Volvo 850 T5/T5R

Tiada siapa pernah menyangka yang mereka ingin memiliki sebuah wagon Volvo sehinggalah munculnya model-model T5 dan T5R. Lagi hebat bila ia dikeluarkan dengan warna Canary Yellow standard dari kilang untuk sebuah wagon yang kelihatan macam kereta peniaga pasar malam versi mewah. Model standard T5R didatangkan dengan enjin 2.3L 5-selinder turbo dan mampu menghasilkan 243 hp kuasa dan dilengkapi dengan ECU yang ditala oleh Porsche. Malah ia turut dilengkapi dengan tayar standard Pirelli P-Zero. Yaa, Pirelli P-Zero tuan-tuan.

Tambah menarik perhatian lagi bila model 850 ini diinspirasikan oleh jentera-jentera perlumbaan Tom Walkinshaw yang memukau perhatian ramai dalam perlumbaan British Touring Car Championship (BTCC).

Koenigsegg Agera RS

Inilah kemuncak kepada kehebatan kereta-kereta buatan Sweden. Ia memecahkan pelbagai rekod kelajuan dan memeningkan kepala Bugatti yang terpaksa memikirkan cara untuk mengatasinya. Antara rekod kelajuan yang pernah dicipta oleh kereta ini ialah kemampuan untuk memecut dari 0-400 km/j hanya dalam masa 33.29 saat!

Agera RS adalah hasil kejuruteraan gila tapi sangat hebat dari syarikat yang diasaskan oleh Christian von Koenigsegg 25 tahun dahulu. Satu perbezaan yang besar berbanding Bugatti ialah, Koenigsegg tidak mempunyai sokongan kewangan dari Volkswagen seperti Bugatti.

kredit Carbuzz.com

Tags
Google ads
Back to top button