
HONDA e:N1 RASMI DILANCARKAN – TAWAR JARAK GERAK SEHINGGA 500KM, HARGA BERMULA RM149K
Honda Malaysia kini secara rasmi melancarkan model kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama mereka, e:N1.
Dibina berasaskan platform pacuan roda hadapan baharu yang dikenali sebagai e:N Architecture F, e:N1 direka untuk memberikan pecutan lancar serta kawalan mantap di pelbagai keadaan jalan.
Reka bentuk e:N1 menonjol dengan lampu utama LED penuh, lampu belakang LED bergaya serta rim aloi dua tona bersaiz 18-inci yang eksklusif untuk model BEV Honda.

Port pengecasan AC dan DC pula direka kemas di bahagian hadapan dengan indikator pengecasan terletak di atas gril, memudahkan pengguna memantau proses pengecasan.
Satu ciri unik pada e:N1 ialah penggunaan logo “H” berwarna putih yang menjadi simbol kepada barisan kenderaan elektrik Honda. Lambang ini boleh dilihat pada pelbagai bahagian seperti kunci pintar, stereng, penutup port pengecasan depan dan penutup rim tengah.
Di belakang pula, huruf “Honda” dengan gaya tipografi baharu memberikan sentuhan premium pada penampilannya.

Bagi dimensinya, e:N1 mempunyai panjang 4,380mm, jarak antara roda 2,610mm dan tinggi 1,592mm.
Di bahagian dalam, model ini menampilkan skrin sentuh infotainmen bersaiz besar 15.1-inci dalam orientasi menegak yang turut mengawal sistem penyaman udara. Turut dilengkapi ialah paparan instrumen digital 10.25-inci.
Honda e:N1 ditawarkan tiga warna luaran iaitu Aqua Topaz Metallic, Urban Gray Pearl dan Platinum White Pearl, manakala bahagian dalaman turut hadir dua pilihan warna; Gray serta Black.
Dilengkapi motor elektrik berprestasi tinggi, bateri lithium-ion berkapasiti 68.8kWh, dan struktur badan teguh khas untuk EV, e:N1 mampu menjana kuasa maksimum 150kW dan tork 310Nm.

Dengan satu cas penuh, ia mampu menjangkau jarak pemanduan sehingga 500km (NEDC).
Ia mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam masa 7.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 160 km/j.
Untuk pengecasan pula, ia hanya menyokong pengecasan pantas DC sehingga 78kW, menjadikan tempoh pengecasan dari 10 hingga 80% mengambil masa kira-kira 45 minit.
Soal keselamatan, model ini dilengkapi sistem Honda SENSING yang menawarkan sembilan fungsi bantuan pemandu canggih, serta Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM).
Bagi memberi sokongan jualan dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan e:N1, Honda Malaysia telah melantik lapan pengedar bertauliah di tiga wilayah utama untuk menangani pertanyaan berkaitan model ini iaitu Accord Auto, HZN Cars dan Tiong Nam Motor di Selangor, Peringgit Sri Motor di Kuala Lumpur, Ban Hoe Seng Auto di Perak, Vivahill Auto di Pulau Pinang, Ban Lee Heng Motor di Negeri Sembilan serta Kah Motor Co di Tebrau, Johor.
Untuk harga pula, e:N1 boleh dimiliki pada harga bermula RM149,900.
Bagi memberikan ketenangan tambahan, pakej Honda Insurance Plus (HiP EV) turut ditawarkan untuk model e:N1, yang menyediakan Manfaat EV Tambahan termasuk perlindungan terhadap kerosakan atau kecederaan semasa menggunakan pengecas EV awam, perlindungan pengecas dinding EV rumah daripada kebakaran, kilat, kecurian atau bencana alam, perlindungan terhadap kehilangan atau kerosakan kabel pengecas mudah alih serta perlindungan liabiliti peribadi bagi kecederaan tubuh badan atau kerosakan harta pihak ketiga yang berpunca daripada penggunaan pengecas dinding EV rumah.
GALERI:


















- BACA: GERIK MEGATRAIL 6.0: 180 JENTERA 4X4 TEMPUH CABARAN MERENTASI HULU PERAK
- BACA: INFLUENCER DIDAKWA SELEWENG FAKTA, AVATR TUNTUT GANTI RUGI RM9.8 JUTA!
- BACA: TPAD DESAK MOT PERJELAS TINDAKAN HENTI OPERASI INDRIVE DAN MAXIM
- BACA: SUV BERGAYA DEFENDER DARI ICAR CURI TUMPUAN – HARGA MESRA POKET, SEKITAR RM130K