Buletin

TEMPAHAN TOYOTA HIACE SUPER LONG WHEELBASE (SLWB) KINI DIBUKA – JANA 177PS, HARGA RM169K

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan pesanan untuk Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) Window Van serba baharu kini dibuka.

Menurutnya, Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) menawarkan kecekapan, keselamatan dan pengalaman memandu yang lebih baik.

Evolusi terbaharu dalam siri HiAce ini menetapkan penanda aras baharu untuk kenderaan utiliti 10-tempat duduk.

Dari segi dimensi, Toyota HiAce SLWB baharu terserlah dengan saiz besarnya, sepanjang 5,915mm, lebar 1,950mm dan ketinggian 2,280mm dengan jarak roda pada 3,860mm.

Peningkatan dalam dimensi, dengan panjang dikembangkan sehingga 1,220mm, lebar sebanyak 255mm, dan penambahan ketinggian 300mm, bukan sahaja menawarkan lebih banyak ruang dalaman tetapi juga meningkatkan kestabilan serta dinamik pemanduan.

Dari segi kuasa, ia dijana oleh enjin turbo-diesel 2.8 liter berkuasa 1GD-FTV, berupaya menghasilkan 177PS pada 3,400rpm dan tork 450Nm antara 1,600 hingga 2,400rpm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi Automatik 6-kelajuan bersama Sequential Shift bagi memberikan pengendalian lebih baik.

Perincian lain bagi Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) termasuklah rim 16-inci, cermin kuasa di depan, lampu DRL, lampu depan reflektor, lampu kabus, serta suspensi MacPherson di depan, dan leaf spring di belakang.

Turut disertakan adalah lampu di pemijak sisi pintu gelungsur, DVR (dashcam), dua soket kuasa, RFID binaan dalam, ruang keluar kecemasan di bumbung, tiga beg udara serta Emergency Stop Signal (ESS).

Untuk harga pula, Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) boleh dimiliki pada harga bermula RM169,000.

Untuk maklumat lanjut tentang Toyota HiAce SLWB baharu dan untuk membuat tempahan, sila layari https://www.toyota.com.my

Google ads
Back to top button