
THAILAND PASANG KAMERA PERANGKAP HAD LAJU DI 3 BATANG SUNGAI
Jika pemandu kereta di Malaysia mengeluh apabila ‘kantoi’ memecut di laluan yang ada dipasang kamera perangkap had laju, lain pula kisahnya di negara jiran, Thailand.
Di sana, pengemudi bot dan sampan berenjin juga perlu berwaspada kerana mereka boleh disaman jika memandu laju di sungai yang terdapat petugas dengan kamera perangkap had laju.
Perkara pelik tetapi unik itu dikongsikan menerusi laman sosial nostalgia popular tempatan, Kaki Restore baru-baru ini dan \ meraih lebih 3,300 tanda suka selain dikongsi hampir 700 kali.
Pentadbir akaun tersebut hanya menulis kapsyen ringkas bernada sindiran, ‘Sementara itu di Thailand’ serta memuat naik empat foto dikredit daripada netizen dikenali Rattapol Kongbua.
Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, gambar-gambar berkenaan pernah disiarkan netizen di negara itu pada 2020 ekoran penguatkuasaan had laju di tiga batang sungai utama.
Langkah tegas tersebut ekoran aduan penduduk yang mendiami sepanjang tebing sungai apabila bot mereka bergegar kuat akibat dibadai riak gelombang dan sukar untuk merapati rumah.
Susulan itu, Timbalan Gabenor Wilayah Ayutthaya, Rewat Prasong mengumumkan had laju maksimum cuma 15 kilometer sejam yang meliputi aliran sungai Chao Phraya, Noi dan Pasak.
Mereka yang didapati ingkar mengemudi bot melebihi kelajuan itu boleh dikenakan hukuman denda hingga 5,000 baht (kira-kira RM636) atau digantung permit selama tempoh enam bulan.
Seperti juga suasana biasa di lebuh raya, sejumlah papan tanda amaran dan peringatan awal ada kamera perangkap had laju turut dipasang di sepanjang sungai terbabit sebagai panduan.
Petugas Jabatan Marin akan berada di lokasi strategik untuk merakamkan bot yang berdegil memandu laju sebelum kompaun dikeluar berdasarkan nombor pendaftaran di kenderaan itu. – Utusan Online
- BACA: INFLUENCER POPULAR UK KENA TAHAN HUMBAN BMW E46 3 SERIES MASUK SUNGAI
- BACA: RIDER BENELLI TERCAMPAK KE DALAM SUNGAI PERAK, DISELAMATKAN OLEH PEMANCING UDANG
- BACA: SELEPAS MOTOCROSS, GENG 4X4 PULA CEROBOH HUTAN SIMPAN. DITAHAN KETIKA BEREHAT DI TEPI SUNGAI
- BACA: LANGGAR ORANG KAMPUNG, TOYOTA AVANZA DIHUMBAN KE DALAM SUNGAI