
RIDER BENELLI TERCAMPAK KE DALAM SUNGAI PERAK, DISELAMATKAN OLEH PEMANCING UDANG
Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi berdepan detik cemas apabila tercampak ke dalam Sungai Perak selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang di Jambatan Batu 5 itu, lelaki berusia 36 tahun tersebut bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh sekumpulan pemancing udang yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 52 tahun yang memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh motosikal mangsa.

“Kereta yang datang dari arah Sarang Tiong hendak menuju Ke Teluk Intan telah brek mengejut untuk mengelak kenderaan di hadapan yang dipandu perlahan, sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Tiba-tiba mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dari arah depan telah melanggar bahagian tepi kereta terbabit hingga melambung atas jalan sebelum terjatuh ke dalam sungai,” kata Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamaruddin Mat Salleh.
Mangsa yang cedera dihantar Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Seorang saksi, Zunaidee Mohd Yusuf, 52, berkata, dia bersama tiga rakan terkejut apabila melihat mangsa melayang terjatuh ke dalam sungai selepas terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jambatan.
“Saya bersama tiga rakan lain ketika itu sedang memancing udang galah dengan menyewa bot tidak jauh dari jambatan.
“Melihat kejadian itu, kami menghala bot ke arah mangsa selepas ternampak mangsa timbul dengan lengkap berjaket, topi keledar, kasut dan bersarung tangan,” katanya.
Mereka semua berasa lega apabila mangsa masih lagi sedar dan segera menariknya ke dalam bot kerana arus yang deras sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan. – Sinar Harian