
THULE EXPO 2026 PERKENAL RANGKAIAN KERUSI KESELAMATAN KANAK-KANAK TERBAHARU
Jenama produk gaya hidup dan mobiliti dari Sweden, Thule, memperkenalkan rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak terbaharu menerusi penganjuran Thule Expo 2026 di JioSpace, Petaling Jaya.
Acara berkenaan menghimpunkan kira-kira 180 tetamu, termasuk 80 pengedar dari rantau Asia Pasifik, rakan niaga tempatan serta wakil media bagi memperkenalkan perkembangan terbaharu produk Thule dalam segmen mobiliti keluarga.
Antara tumpuan utama acara itu ialah pelancaran dan demonstrasi secara langsung tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak, iaitu Thule Maple, Thule Elm dan Thule Palm.
Ketiga-tiga produk tersebut dibangunkan bagi memenuhi keperluan keluarga moden, khususnya dari aspek keselamatan, keselesaan serta kemudahan membawa anak ketika melakukan perjalanan.

Naib Presiden Jualan Thule, Daniel Larsson, menyampaikan ucapan pembukaan sebelum sesi demonstrasi produk dikendalikan oleh pengurus produk, Ahmad.
Demonstrasi berkenaan memperlihatkan sistem integrasi kerusi keselamatan dengan rangkaian kereta sorong bayi Thule, sekali gus membolehkan ibu bapa memindahkan anak dari kenderaan ke kereta sorong dengan lebih mudah tanpa perlu mengganggu keselesaan mereka.
Thule Maple merupakan kerusi keselamatan untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak kecil. Model ini menawarkan ciri sandaran boleh laras serta keserasian dengan sistem kereta sorong Thule bagi memudahkan pergerakan harian.
Sementara itu, Thule Elm direka untuk kanak-kanak yang sedang membesar dengan mekanisme putaran 360 darjah. Ia turut menyediakan beberapa posisi sandaran serta keupayaan penggunaan menghadap ke belakang untuk tempoh lebih panjang.
Melengkapkan rangkaian berkenaan ialah Thule Palm, kerusi penggalak dengan penyandar belakang tinggi yang mematuhi standard i-Size.
Model ini dilengkapi panduan tali pinggang keselamatan yang mudah digunakan serta sistem ISOFIX bagi meningkatkan kestabilan pemasangan.
Reka bentuk Thule Palm turut mengambil kira kesesuaian ruang kabin, dengan konfigurasi yang membolehkan sehingga tiga kerusi dipasang sebaris pada tempat duduk belakang bagi pelbagai jenis kenderaan yang bersesuaian.
Selepas sesi pelancaran, pengunjung berpeluang melihat dan mencuba sendiri produk menerusi ruang pameran interaktif bertemakan Active with Kids.
Ruang tersebut menampilkan rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak, pilihan warna serta pelbagai aksesori perjalanan keluarga, sekali gus memberikan gambaran lebih dekat mengenai ekosistem produk Thule untuk kegunaan harian.



