
ISU PENCEMARAN PETROL: PDAM GESA KPDN PERIKSA DEPOT PENYIMPANAN
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan siasatan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bahan api bagi mengenalpasti punca sebenar isu pencemaran petrol RON95 dan kerosakan kenderaan yang dilaporkan, baru-baru ini.
Presiden PDAM Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, siasatan menyeluruh itu perlu merangkumi depot penyimpanan serta proses penghantaran, bukannya terhad kepada pemeriksaan di stesen minyak semata-mata.
“PDAM mengambil maklum pemeriksaan awal KPDN pada awal Oktober di 11 stesen minyak di Kedah dan enam di Perak tidak menemukan petunjuk kehadiran air dalam tangki simpanan bawah tanah.
“Bagaimanapun, penemuan ini adalah bersifat awal dan terhad kepada stesen yang diperiksa sahaja, serta belum boleh dianggap sebagai keputusan muktamad sementara menunggu analisis makmal lanjut.
”Justeru, kami mengalu-alukan siasatan KPDN yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bahan api, termasuk depot penyimpanan dan proses penghantaran, bagi mengenal pasti punca sebenar sekiranya berlaku pencemaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairul Annuar menegaskan, pengusaha stesen minyak tidak mengeluarkan atau mencampurkan bahan api berkenaan, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada syarikat minyak masing-masing untuk membekalkan petrol yang memenuhi spesifikasi ditetapkan.
Sehubungan itu, PDAM menolak sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa pengusaha stesen minyak sengaja mencampurkan air ke dalam petrol demi mengaut keuntungan.
“Tindakan sedemikian tidak memberikan sebarang manfaat ekonomi kepada pengusaha, sebaliknya boleh merosakkan kenderaan, menjejaskan keyakinan pelanggan serta merugikan perniagaan mereka sendiri.
“Punca sebarang masalah kualiti bahan api perlu ditentukan menerusi siasatan bebas terhadap rantaian bekalan berkaitan, bukannya terus meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak,” katanya.
Dalam pada itu, PDAM menggesa pengguna yang terjejas supaya membuat aduan rasmi terus kepada KPDN dan syarikat minyak berkaitan, dan bukannya menyebarkan dakwaan yang belum disahkan di media sosial.
Katanya, penyebaran tuduhan yang menamakan stesen minyak tertentu di media sosial boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan reputasi pengusaha yang tidak bersalah.
Bagi pengusaha yang menjadi mangsa fitnah atau tuduhan palsu, PDAM menasihatkan agar mereka menyimpan bukti dan membuat laporan polis untuk tindakan susulan, termasuk rujukan kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). – Harian Metro








