
BYD ADA 1.02 JUTA PEKERJA SELURUH DUNIA
Syarikat BYD kini mempunyai lebih 1.02 juta pekerja di seluruh dunia, menjadikannya antara syarikat automotif dengan jumlah tenaga kerja terbesar di dunia. Jumlah tersebut sebenarnya lebih tinggi berbanding gabungan pekerja empat pengeluar automotif utama iaitu Toyota, General Motors (GM), Ford dan Tesla yang secara keseluruhannya mempunyai kira-kira 851,000 pekerja.
Perkara itu didedahkan oleh pengerusi BYD, Wang Chuanfu dan BYD tersebut dilaporkan telah menambah kira-kira 150,000 pekerja sepanjang tahun ini sahaja, menunjukkan perkembangan operasi dan pengeluaran BYD yang semakin pesat. Daripada keseluruhan jumlah pekerja tersebut kira-kira 960,000 orang berpangkalan di China manakala selebihnya bekerja di luar negara.
BYD juga mempunyai sehingga 120,000 pekerja yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), mencerminkan pelaburan besar syarikat itu dalam pembangunan teknologi automotif. Jumlah tenaga kerja yang begitu besar sebenarnya berkait rapat dengan strategi perniagaan BYD yang mengutamakan pengeluaran secara dalaman.
Berbeza dengan sesetengah pengeluar automotif yang bergantung kepada pembekal luar untuk mendapatkan komponen utama, BYD menghasilkan sebahagian besar teknologi dan komponen kenderaannya sendiri. Ini termasuklah bateri, motor elektrik, cip semikonduktor serta pelbagai komponen elektronik yang membolehkan BYD mempunyai kawalan lebih besar terhadap rantaian bekalan, kos pengeluaran dan pembangunan teknologi.

Tetapi jumlah pekerja yang besar tidak semestinya bermaksud BYD lebih produktif berbanding pesaingnya. Berdasarkan angka pengeluaran dan jumlah tenaga kerja tahun lalu, BYD menghasilkan kira-kira lima buah kenderaan bagi setiap pekerja. Sebagai perbandingan, Tesla menghasilkan sekitar 12 buah kenderaan bagi setiap pekerja manakala Toyota mencatatkan kira-kira 29 buah kenderaan bagi setiap pekerja.
Namun begitu, perbandingan ini perlu dilihat dalam konteks model perniagaan setiap syarikat. BYD bukan sekadar pengeluar kenderaan kerana kumpulan tersebut turut mempunyai perniagaan pembuatan elektronik secara kontrak untuk pelanggan lain, sekali gus menyumbang kepada jumlah tenaga kerja keseluruhan syarikat.
Ini bermakna bukan semua 1.02 juta pekerja BYD terlibat secara langsung dalam pengeluaran kereta.
Dalam perkembangan berkaitan, prestasi jualan BYD di pasaran domestik China turut berdepan tekanan apabila jualan keseluruhannya dilaporkan menurun sebanyak 3.9 peratus sepanjang tahun ini walaupun prestasi eksport syarikat tersebut menunjukkan perkembangan positif dengan permintaan dari pasaran antarabangsa terus meningkat.

Perkembangan eksport ini penting kerana BYD sedang memluaskan pengaruhnya di pasaran luar China, termasuk Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Latin. Strategi tersebut turut disokong oleh pengembangan rangkaian pengeluaran serta pemasangan kenderaan di beberapa negara.









