
INI BEZA GEAR DCT KLAC BASAH VS KLAC KERING
Transmisi Dual-Clutch Transmission (DCT) atau DSG semakin banyak digunakan dalam kenderaan moden kerana menawarkan penukaran gear pantas, kecekapan mekanikal dan lebih responsif berbanding sesetengah transmisi automatik konvensional. Secara asasnya, terdapat dua jenis utama iaitu dry clutch (klac kering) dan wet clutch (klac basah).
DCT menggunakan dua klac berasingan untuk mengendalikan gear ganjil dan genap. Satu klac menguruskan gear pertama, ketiga dan kelima, manakala satu lagi mengendalikan gear kedua, keempat dan keenam atau gear 7 sekiranya ada. Susunan ini membolehkan gear seterusnya disediakan lebih awal sebelum pertukaran gear dilakukan.
Sebagai contoh, ketika kereta bergerak menggunakan gear kedua, sistem transmisi sudah boleh menyediakan gear ketiga. Apabila pertukaran diperlukan, klac pertama dilepaskan sementara klac kedua mengambil alih. Proses ini membolehkan pertukaran gear berlaku dengan pantas dan gangguan penghantaran kuasa yang minimum.

Walaupun prinsip operasinya sama, cara kedua-dua jenis klac iaitu klac kering dan klac basah adalah berbeza dalam aspek menguruskan haba yang akhirnya memberikan perbezaan besar.
Dry clutch lebih ringan tetapi bergantung kepada pelepasan haba melalui udara
Dry-clutch DCT menggunakan plat klac yang tidak direndam dalam minyak transmisi. Konsepnya hampir sama seperti klac dalam kereta manual konvensional, tetapi menggunakan dua set klac yang dikawal secara elektronik.
Antara kelebihan utama sistem ini ialah reka bentuk yang lebih ringkas, lebih ringan dan kehilangan tenaga mekanikal yang lebih minima. Ini kerana plat klac tidak perlu beroperasi dalam minyak dan sistem tidak memerlukan peredaran bendalir untuk menyejukkan pek klac.
Disebabkan ciri tersebut, dry-clutch DCT sesuai digunakan pada kenderaan kompak yang mempunyai kuasa dan tork sederhana serta mengutamakan kecekapan bahan api. Namun kelemahan utama dry klac adalah pengurusan haba yang bergantung pada aliran udara.

Tanpa kehadiran minyak yang mengalir di sekitar plat klac, haba yang terhasil daripada geseran perlu dipindahkan melalui komponen seperti flywheel, plat klac dan perumah transmisi sebelum dilepaskan ke persekitaran melalui aliran udara pasif yang membantu proses penyejukan ini.
Masalah boleh timbul apabila kereta digunakan dalam keadaan trafik sesak pada waktu tengahari terik. Ketika bergerak perlahan, klac perlu mencengkam dan melepaskan kuasa secara berulang kali bagi mengawal pergerakan kenderaan. Dalam keadaan tertentu, klac juga mengalami gelinciran atau slipping yang menghasilkan haba dan pada masa sama aliran udara adalah minima untuk menyejukkan sistem
Jika keadaan ini berterusan, suhu klac boleh meningkat dan berpotensi mempercepatkan kehausan permukaan geseran.
Wet clutch menggunakan minyak untuk membantu mengawal suhu
Berbeza dengan dry clutch, wet-clutch DCT menggunakan plat klac yang beroperasi dalam rendaman minyak transmisi. Minyak tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai pelincir, malah membantu membawa keluar haba yang terhasil ketika proses pencengkam dan pelepasan klac berlaku.

Keupayaan menguruskan haba ini membolehkan wet-clutch DCT mengendalikan tork yang lebih tinggi serta beban operasi yang lebih berat. Jadi sistem ini banyak digunakan pada kenderaan berkuasa tinggi dan model yang memerlukan kapasiti pemindahan kuasa lebih besar.
Namun sistem wet clutch mempunyai beberapa kompromi seperti reka bentuknya lebih kompleks, lebih berat dan peredaran minyak menyebabkan kehilangan tenaga tambahan berbanding sistem dry clutch.
Ia juga memerlukan penyelenggaraan bendalir transmisi mengikut spesifikasi serta jadual yang ditetapkan pengeluar. Namun keupayaan minyak membantu menyejukkan klac memberikan kelebihan tersendiri apabila transmisi beroperasi dalam keadaan yang menghasilkan haba tinggi.
Mengapa keadaan pemanduan Malaysia perlu diambil kira?
Malaysia mempunyai iklim tropika dengan suhu persekitaran yang lazimnya berada sekitar 25 hingga 35 darjah Celsius sepanjang tahun. Tidak seperti negara empat musim, kenderaan di Malaysia perlu beroperasi dalam keadaan panas dan lembap tanpa perubahan suhu bermusim yang ketara.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila digabungkan dengan kesesakan lalu lintas, khususnya di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Bayangkan sebuah kereta yang digunakan untuk perjalanan pulang dari tempat kerja ketika waktu puncak. Kenderaan bergerak beberapa meter, berhenti, kemudian bergerak semula sebelum berhenti sekali lagi. Kitaran ini mungkin berulang selama 30 hingga 60 minit.
Dalam keadaan tersebut, dry-clutch DCT perlu mengawal pergerakan kenderaan melalui proses pencengkam dan pelepasan klac yang berulang. Ketika kereta merangkak perlahan, klac boleh berada dalam keadaan separa mencengkam dan menghasilkan haba akibat geseran.
Apabila suhu persekitaran sudah tinggi, keadaan ini menjadikan pengurusan haba lebih penting. Sistem penyejukan dry clucth yang bergantung kepada pemindahan haba melalui komponen dan udara mempunyai cabaran tersendiri berbanding sistem wet clutch yang menggunakan minyak untuk membawa keluar haba daripada kawasan geseran.
Satu lagi keadaan yang perlu diberikan perhatian ialah pemanduan di kawasan berbukit. Laluan seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands memerlukan transmisi bekerja lebih keras ketika mendaki, terutama apabila berlaku kesesakan.
Jika pemandu menggunakan pedal minyak untuk menahan kereta daripada mengundur ketika berada di cerun, klac boleh mengalami gelinciran berpanjangan. Tabiat ini menghasilkan haba yang tidak diperlukan dan berpotensi mempercepatkan kehausan klac, sama ada pada sistem dry mahupun wet clutch.

Wet clutch mempunyai kelebihan, tetapi bukan bermaksud bebas masalah
Berdasarkan perbezaan reka bentuk tersebut, wet-clutch DCT mempunyai kelebihan dari sudut pengurusan haba dan keupayaan mengendalikan tork. Ciri ini menjadikannya pilihan yang menarik untuk kenderaan yang banyak digunakan dalam keadaan trafik sesak atau beban operasi tinggi.
Namun penggunaan minyak tidak bermaksud transmisi ini kebal daripada overheating, kerosakan atau kehausan. Tahap ketahanan sebenar masih bergantung kepada reka bentuk, sistem penyejukan, kualiti komponen, perisian kawalan dan penyelenggaraan.
Pemilik kenderaan juga perlu mengelakkan tabiat merangkak terlalu perlahan menggunakan pedal minyak secara berterusan, khususnya ketika mendaki. Ketika berhenti lama, gunakan brek dan bukannya membiarkan klac menanggung beban untuk menahan kedudukan kereta.
Dry-clutch DCT menawarkan kelebihan dari segi berat, kesederhanaan reka bentuk dan kecekapan mekanikal. Sebaliknya wet-clutch DCT memberikan kelebihan dari sudut pengurusan haba serta keupayaan mengendalikan tork dan beban operasi yang lebih tinggi.
Jika mengambil kira keadaan cuaca panas Malaysia, kesesakan lalu lintas yang panjang serta penggunaan kenderaan di kawasan berbukit, wet-clutch DCT dilihat mempunyai kelebihan dari sudut kesesuaian penggunaan harian.
Ini bukan bermaksud dry clutch merupakan teknologi yang tidak bagus atau pasti bermasalah. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa pemilihan transmisi sepatutnya mengambil kira keadaan sebenar kenderaan digunakan, bukan hanya angka penggunaan bahan api atau kepantasan pertukaran gear yang ditawarkan oleh pengeluar.









