Buletin

MAHINDRA ROXOR – JELMAAN SEMULA MODEL WILLYS JEEP TAHUN 1940-AN

Pengeluar kenderaan berpengaruh dari India, Mahindra baru sahaja memperkenalkan jentera khas untuk kegunaan off-road sahaja di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Mahindra Roxor menjadi model pertama Mahindra di pasaran Uncle Sam itu. Ia dibangunkan di Metro Detroit oleh Mahindra Automotive North America. Reka bentuk jentera tersebut diinspirasikan daripada model Willys Jeep.

Untuk makluman, Mahindra pernah memasang kit-kit model Jeep untuk pasaran India pada tahun 1940-an. 

Bagi mengelakkan sebarang isu perundangan dengan Jeep USA, gril hadapan direka sedikit berbeza. Tidak seperti Mahindra Thar, Roxor tidak mempunyai pintu, cermin hadapan atau bumbung.

Roxor dibina di atas kerangka kotak, gandar yang teguh dan suspensi jenis gegelung daun, sama seperti Thar. Ia menggunakan khidmat enjin diesel empat silinder dengan pengecas turbo M2DiCR bersesaran 2.5 liter.

Mampu menjana kuasa 62hp dan tork 195Nm, enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan tuil gear pacuan empat roda manual. Roxor boleh mencapai kelajuan maksimum 75km/j dengan keupayaan menunda sehingga 1.5 tan.

Untuk memberikan gaya sebuah model off-road sebenar, Roxor dipasang dengan rim besi bersaiz 16 inci yang dibalut tayar off-road tebal.

Sebagai sebuah jentera untuk tujuan kerja, papan pemukanya sangat asas. Pemandu hanya disediakan dengan satu meter besar di tengah-tengahnya. Selain itu, ia didatangkan dengan tempat meletak botol minuman, satu ciri penting untuk kenderaan sebegini.

Mahindra mendakwa pembeli boleh memilih daripada 900 warna dan wrap yang boleh dilakukan terus di kilang. Ia juga ditawarkan dengan rangkaian aksesori seperti bampar off-road, winch, bar lampu dan banyak lagi.

Roxor ditawarkan pada harga AS$15,000 (RM58700) seunit. Ia akan dijual menerusi rangkaian pengedar barangan sukan ekstrem seperti motosikal quad, jet ski dan sebagainya. 

GALERI

Google ads
Back to top button