Buletin

TOYOTA 86 GENERASI AKAN DATANG MUNGKIN GUNA ENJIN 2.4 LITER. MAAF, TIADA TURBO.

Dalam satu temuramah dengan media Australia tahun lalu, jurutera 86 Tetsuya Tada secara terus-terang memberitahu bahawa model 86 (dan BRZ) tidak akan dipasangkan dengan enjin turbo. Ia tidak ada langsung dalam perancangan mereka.

Menurut Tada, beliau menerima banyak sekali soalan tentang versi turbo untuk 86 dari seluruh dunia. Namun apabila jawapan tiada versi turbo akan dikeluarkan, ada media yang mendakwa Tada tidak sukakan enjin turbo.

“Itu tidak benar, saya suka enjin turbo. Tetapi, jika kami ingin menghasilkan 86 versi turbo dan meningkatkan kuasa enjinnya, banyak perkara yang perlu dilakukan. Konfigurasi asas perlu ditukar sepenuhnya demi menghasilkan sebuah jentera yang saya benar-benar puas hati,” jelas Tada.

Setelah lima tahun dalam pasaran, 86 dan BRZ sudah sampai ke penghujung usia pengeluarannya. Generasi kedua 86 akan dihasilkan tidak lama lagi dan itu bukan lagi satu rahsia.

Toyota 86 dan Subaru BRZ ini adalah model yang sukses dalam tempoh pengeluarannya. Generasi kedua sudah pasti mencuri tumpuan tentang nadi apakah yang akan digunakan padanya.

Apa yang jelas, pengamal automotif mengkritik 86 sebagai model yang seronok dipandu tetapi mempunyai masalah kekurangan kuasa.

Jika dilihat pada perkembangan semasa, Subaru sedang membangunkan enjin FA24, 2.4 liter empat selinder dengan sistem pengecas turbo. Ia akan dipasangkan pada SUV Subaru Ascent. Enjin baru ini berupaya menghasilkan sehingga 260 kuasa kuda dan 277 paun tork.

Ini adalah calon terbaik bagi enjin flat 4 boxer moden yang bakal menggantikan nadi 86 FA20 sekarang. Tetapi agak jelas dari kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, berkemungkinan besar enjin untuk 86 generasi kedua akan menggunakan susunan aspirasi biasa (Normal Aspirated) dan bukannya induksi turbo.

Kami di mekanika pula berpendapat, jurutera Toyota masih mahu mengekalkan kelasakan sebuah jentera pacuan roda belakang tanpa perlu menggunakan induksi pendesak turbo. Melainkan perubahan struktur kerangka dan platform baru dibina 100 peratus, kami yakin generasi 86 akan datang akan menggunakan enjin FA20 yang dipertingkatkan.

Setidak-tidaknya dengan gerek dan lejang baru (bore & stroke) untuk mendapatkan kapasiti yang lebih besar. Jadi, calon FA24 enjin 2.4 liter N/A adalah yang terbaik secara teorinya setakat ini.

Ini mengikut firasat kami lah.

 

 

 

 

Google ads
Back to top button