Artikel Pilihan

TOYOTA AE86: SEBUAH KERETA BIASA, KINI JADI LAGENDA SEPANJANG ZAMAN

Pernahkah anda terfikir dari manakah asal-usul AE86? Ataupun apakah maksud di sebalik namanya? Apakah varian yang ada, baik dari segi rekaan badan dan juga kemasan luaran dan dalaman?.

Okey kali ni abang nak bagi ceramah sikit pasal sejarah AE86 yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Jika anda pernah baca sejarah Toyota Corolla sebelum ini anda mesti sudah tahu yang AE86 telah dilancarkan pada tahun 1983 sebagai sebahagian daripada varian Corolla generasi kelima.

BACA: LELAKI INI KONGSI CERITA MILIKI 5 BUAH AE86

Ia merupakan Corolla (AE) terakhir yang dikeluarkan dengan format RWD (pacuan roda belakang). Bagi projek kereta ini, para pereka di Toyota juga telah diberikan arahan yang khusus iaitu: mereka mesti menghasilkan sebuah kereta yang berbaloi yang untuk didekasikan kepada model Corolla generasi lama yang cukup diminati golongan lama.

Dengan penuh bersemangat juga, pihak Toyota Jepun telah mengeluarkan dua model. Satu merupakan pelopor dalam rekaan automotif terbaru dengan lampu utama pop-up dan dinamakan Trueno Sprinter. Sebuah lagi model kembarnya menggunakan lampu utama jenis kekal seperti kebiasaan model Corolla lain dan dinamakan Corolla Levin.

Ia juga ditawarkan dengan rekaan hatchback dan juga coupe sporty yang kelihatan cukup seksi dan bergaya.

Selain daripada AE86 yang cukup terkenal itu, Toyota turut menghasilkan model yang lebih murah dan kurang sporty dan diberi nama AE85. Ia merupakan adik kepada AE86 dan menggunakan enjin aci sesondol tunggal dengan kapasiti yang lebih kecil.

Ia juga menggunakan kemasan yang lebih murah tetapi masih mengekalkan bentuk badan yang sama seperti abangnya (ingat Fujiwara Bunta dalam Initial D?)

AE86 merupakan Corolla generasi terhebat keluaran Toyota. Ia telah terjual di hampir kesemua benua di dunia ini dengan pelbagai variasi model dan dihasilkan mengikut kehendak pasaran tempatan.

Australia contohnya menerima varian Corolla Levin hatchback dengan spesifikasi asas seperti AE85 di Jepun dan diberi nama Toyota Sprinter. Ia bagaimanapun tidak dilengkapi dengan kuasa dan sistem kawalan sehebat AE86 walaupun casisnya masih menggunakan kod AE86.

BACA: TOYOTA UK HASILKAN REPLIKA GT86 INITIAL D

Di Amerika Syarikat pula AE86 dikenali dengan nama Corolla GT-S dan merupakan varian alternatif yang lebih murah berbanding Corolla SR-5. Keduanya ditawarkan dengan bentuk badan coupe dan juga hatchback mengikut kehendak pelanggan.

Pasaran Eropah juga ditawarkan dengan dua pilihan bentuk badan Corolla Levin tetapi ia digelar Corolla GT dan juga SR-5. Nama Levin tidak digunakan di Eropah. SR-5 pula hanya ditawarkan untuk jualan di Switzerland dan Austria.

Corolla SR-5 untuk pasaran Eropah

Nama-nama pelik yang diberikan kepada AE86 seperti Trueno dan Levin tidak dibawa ke serata dunia. Ia digunakan khusus untuk model-model ‘gred tinggi’ Toyota seperti TE27 dan TE71. Ia ditawarkan dengan pelbagai kemasan untuk pasaran Jepun.

Boleh tahan juga ‘double-standard’nya kan?. Nama Trueno bermaksud ‘guruh’ manakala Levin pula membawa maksud ‘petir’ ataupun ‘kilat’. Memang cukup kena betul nama-nama tersebut dengan dua variasi AE86 tersebut.

Nama tersebut juga sesuai untuk menggambarkan perasaan seseorang yang memandu kereta-kereta tersebut. Itu belum termasuk dunia sukan motor yang seolah-olah digegarkan oleh guruh dan petir bila kedua kereta ini mula berlumba di litar  di seluruh dunia dan mendominasi hampir kesemua acara disertai.

TOYOTA KE70: KERETA KLASIK POPULAR

Enjin DOHC 1.6-liter dengan pacuan roda belakang Corolla membuktikan kehebatannya dengan mengalahkan semua saingan yang lebih hebat sewaktu awal kemunculan mereka. Kehebatan itu juga kekal sehingga sekarang dan sedikit pun tidak pudar ditelan masa.

Salah satu faktor kehebatan AE86 ialah enjinnya itu sendiri yang dikenali dengan 4A-GE. Ia dihasilkan dengan konfigurasi DOHC 16-injap yang mampu menjana 130 bhp kuasa maksima bila digabungkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan. Enjin itu juga mempunyai persamaan dengan enjin Cosworth BDA yang cukup terkenal dan menyebabkan keduanya menjadi lagenda.

Enjin 4A-GE juga merupakan enjin yang menghasilkan bunyi yang paling lunak di dunia selain mempunyai rekaan yang cukup ringkas, boleh ‘diperah’ sesuka hati dan cukup responsif. Inilah ciri-ciri yang membuatkan enjin ini cukup berjaya.

Satu lagi perkara menarik ialah AE86 tidak banyak berubah sepanjang lima tahun pengeluarannya. Apa yang berubah cumalah aspek kosmetik dan dibezakan dalam siri tertentu dengan gelaran dalam bahasa Jepun.

Siri pertama digelarkan sebagai ‘Zenki’ yang bermaksud ‘yang terawal’. Siri yang kedua pula dinamakan ‘Kouki’ bermaksud yang terakhir (facelift).

Ia juga merupakan model naik taraf daripada model sebelumnya. Perbezaan ketara dari Zenki ke Kouki ialah dari segi luaran contohnya lampu-lampu, bumper dan warna. Kemasan dalaman juga agak berbeza terutamanya dari segi rekaan tempat duduk dan warna plastik termasuk kemasan fabrik yang digunakan.

Bagaimanapun, bahagian mekanikal boleh dikatakan 99 peratus sama seperti sedia ada.

Jangkamasa setiap siri adalah seperti berikut:

Zenki – Dari Ogos 1983 hingga Julai 1985.

Kouki – Dari Ogos 1985 hingga Julai 1987.

Selepas dua tahun dikeluarkan, Toyota Jepun masih kekal dengan format dua pintu coupe dan hatchback tiga pintu. Ia juga mempunyai pilihan kemasan dan aksesori seperti stereng kuasa, tingkap kuasa, sunroof, spot light dan kit badan aero. Ia bergantung kepada varian AE86 yang dipilih.

Antara model yang boleh dipilih ialah:

GT / GT-V (GT MERUPAKAN MODEL 2-PINTU DAN GT-V MODEL 3-PINTU)

Ini merupakan model sports dengan beberapa komponen ditiadakan untuk meringankan berat. Ia mempunyai suspensi “Lasre Pegasus” gred yang sama dengan GT Apex termasuklah differential LSD dan kemasan dalaman tetapi tanpa komponen ‘mewah’. Bodykit adalah aksesori pilihan sama seperti stereng kuasa, sunroof dan juga penyaman udara. Ia dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan juga belakang.

GT APEX

Inilah model AE86 paling ‘mewah’ kerana dilengkapi dengan pelbagai pilihan aksesori lengkap. Ia mempunyai semua ciri yang ada pada GTV dengan beberapa ciri tambahan lain seperti tingkap dan stereng kuasa, cruise control, sunroof, cermin sisi berkuasa, penyaman udara dengan kawalan klimaks, susun atur meter digital dan pemain audio Pioneer. Malah ia juga dilengkapi dengan kit badan OEM yang antaranya ialah lip hadapan, skirting sisi dan spoiler pada but belakang.

Kedua-dua model boleh didapati dengan bentuk badan hatchback dan juga coupe. Pelbagai pilihan warna ditawarkan dan warna yang paling popular semestinya gabungan warna hitam dan putih yang lebih dikenali di kalangan pemilik AE86 sebagai ‘panda’.

JADI, KENAPA KERETA SPORT BAJET NI BEGITU POPULAR?

Ramai yang mengatakan yang ia dipengaruhi oleh semua karya komik yang bertajuk Initial-D yang dihasilkan oleh Shuichi Shigeno pada tahun 1995. Ia kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk anime dan kemudiannya filem. Ia juga dikatakan mempopularkan kereta ini dan teknik memandu yang dipaparkan di dalam karya tersebut – Drift. Ia mungkin juga ada kebenarannya.

Dalam zaman di mana kegilaan memiliki kereta berprestasi dan kemudian mengubahsuainya cukup kuat, tentu ramai yang sudah sedar kenapa AE86 dan teknik drift begitu popular. Ia bukan berlaku begitu sahaja dan orang yang bertanggungjawab membawa drift ke dunia permotoran tentunya ialah pelopor drift terkenal, Keiichi Tsuchiya dan kegilaannya kepada AE86.

Beliau memperkenalkan teknik drift sewaktu mula menyertai siri perlumbaan Japanese Fuji Freshmen. Ia merupakan teknik yang digunakan beliau untuk mengambil selekoh dengan lebih pantas.

Beliau jugalah yang bertanggungjawab mempopularkan AE86 ataupun dikenali juga dengan nama hachiroku kepada masyarakat luar. Malah beliau banyak menghasilkan video/DVD AE86 Club khusus untuk peminat AE86.

BACA: PENGAKUAN TSUCHIYA, KENAPA SAYA MASIH MEMANDU 86

Setengah pihak lain pula mengatakan yang kereta ini begitu popular kerana ia cukup ringkas, murah (harga sewaktu mula diperkenalkan) dan sesuai untuk semua jenis perlumbaan baik rali mahupun drift.

Apapun ia sememangnya sebuah kereta yang mendapat tempat di hati peminat kereta. Ia merupakan satu lipatan sejarah akan menggamit kenangan manis suatu ketika dahulu (bagi kaki kereta). Bahkan tidak kurang juga yang menyesal tak sudah kerana tidak membelinya ketika harganya masih lagi mampu milik.

Nak beli sekarang memang arwahlah jawabnya.

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button