Buletin

AKSI DRIFT DI GENTING HIGHLANDS, BAHAYAKAN KESELAMATAN ORANG LAIN

Seorang pemandu Honda Civic mencetuskan kekecohan apabila aksinya yang berbahaya hampir mengakibatkan kemalangan di sebuah jalan bulatan di Genting Highlands, baru-baru ini.

Aksi ‘drift’ yang dilakukan di jalan tersebut berakhir dengan kehilangan kawalan, menyaksikan keretanya hampir dirempuh oleh kenderaan lain.

Namun, pemandu terbabit terus bertindak melulu dengan membuat pusingan U secara tiba-tiba dan memandu dengan laju, memotong beberapa pengguna jalan raya lain.

Rakaman kejadian itu dimuat naik oleh laman media sosial Sukan Star TV, memperlihatkan bagaimana sebuah kenderaan lain nyaris menjadi mangsa kemalangan tetapi sempat mengelak pada saat akhir.

Kecaman Netizen

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu mengundang kritikan pedas daripada pengguna media sosial. Dalam ruangan komen Facebook, ramai menyuarakan kemarahan terhadap sikap pemandu terbabit yang dianggap mengancam nyawa orang lain.

“Kalau nak tunjuk hebat, pergilah litar, bukan di jalan awam. Jangan sampai merisikokan nyawa pengguna lain,” tambah Anwar Jai.

Rosli Ibrahim pula menyindir: “Kereta yang cuba mengelak lebih hebat daripada dia. Nak ‘drift’ pun tak pandai.”

Netizen turut menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemandu tersebut. Ada yang mencadangkan video kejadian itu diserahkan kepada pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai bukti.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai insiden tular ini. Namun, kejadian ini menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan di jalan raya dan kepentingan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemanduan berbahaya.

Masyarakat berharap tindakan tegas diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, sekali gus melindungi nyawa pengguna jalan raya yang lain. – Majoriti

Google ads
Back to top button