Artikel Pilihan

LS15V – JENTERA DRIFT PALING MAHAL PERNAH DIHASILKAN DALAM SEJARAH

Drift memang semakin popular di Malaysia dan kita dah biasa tengok jentera drift ala Malaysia ni. Ia berbeza dari jentera drift Jepun dan jentera drift dari Amerika Syarikat. Kalau dibandingkan, kita kelihatan agak ketinggalan berbanding dua negara tadi. Semestinya faktor kemampuan dan harga alat ganti menjadi penghalang untuk menghasilkan jentera drift yang benar-benar menggugat.

Bagaimana jika kos bukan penghalang? LS15V ini adalah contoh terbaik. Dalam keadaan statik pun dah nampak laju. Ia merupakan hasil air tangan TP Autowork ataupun juga dikenali dengan nama TP Racing (TPR).

LS15V ini memulakan hayatnya sebagai Nissan Silvia S15 Varietta. Kenapa namanya Varietta? Macam nama aiskrim pun ada. Mungkin ada yang dah tahu dan kepada yang belum tahun S15 Varietta ini merupakan versi convertible dengan bumbyng hardtop. Model rare ni tuan-tuan dan dikeluarkan hanya sebanyak 1,120 unit. Sekarang tak tahulah berapa unit lagi yang tinggal kat atas dunia ni.

Dalam keadaan standard ia dilengkapkan dengan enjin SR20DE yang mampu menghasilkan sekitar 162hp kuasa maksima. Cukup untuk menghantar anak ke sekolah dan membeli barang runcit tapi jauh dari cukup untuk menyertai pertandingan drift.

Bila bajet tidak menjadi penghalang sudah tentu proses naik taraf akan menjadi lebih mudah. Kini ia dilengkapi dengan enjin baharu yang lebih berkuasa. Bukan baharu beli tapi memang enjin baharu yang belum pernah digunakan. Enjin LS3 6.2L Stage 4 ni memang mahal dan popular di kalangan jaguh-jaguh drift antarabangsa.

Harganya? Korang carilah sendiri dalam internet. Kalau abang google silap-silap sama dengan harga rumah teres lot tengah abang menitik pulak air mata.

Sistem kemasukan udara ke enjin ini diserahkan kepada pTR Carbon. Seperti namanya ia memang dihasilkan daripada serat karbon. Harganya? Kalau korang google ia bermula dari USD1,000-1,500. Cubalah tukar sendiri dan campur sekali dengan cukai import. Pengsan terus nanti.

Kuasa enjin kemudiannya dihantar ke roda belakang menggunakan kotak gear Samsonas 5 kelajuan sequential. Abang tak minat sangat gear sequential ni tapi ia memang pilihan yang lebih tepat untuk kegunaan perlumbaan.

Kuasa enjin yang naik berkali ganda berbanding asal memang menagih kuasa brek yang lebih baik. Kini tugas memperlahan dan menghentikan jentera gagah ini diserahkan kepada Wilwood dengan angkup 4-pot depan dan belakang. Tak main la main pasang cover brek kedai aksesori yang warna warni tu.

Kestabilan jentera drift ini kini lebih terjamin dengan kit suspensi DG-5. Apa? Tak pernah dengar? DG-5 ni anak-anak merupakan sistem suspensi yang direka khas dan diuji oleh Raja Drift terkemuka dunia Keichi Tsuchiya sendiri. Beliau berkolaborasi dengan Swing Springs dan memang digunakan dalam perlumbaan drift aras tinggi. Ingat sekolah je ke ada kemahiran berfikir aras tinggi.

Pelengkap gaya dan fungsi ialah rim GAIA MMX3 9.5JJ ET 12. Ya rim sahaja dan berharga ribu riban dan kelihatan memang kena dengan imej baharu kereta ini. Mana boleh pakai rim standard kilang lagi dah.

Penampilan luaran kereta ini diserlahkan dengan bodykit rekaan tunggal TPR sendiri dan ia memang direka khas untuk kereta ini. Cuma kami tak boleh jamin yang ia tak akan ditiru selepas ini. Jangan main-main sebab ini memang produk buatan Malaysia tuan-tuan.

Bumbung  S15 ini juga telah ditukar kepada bumbung karbon yang hanya seberat 3 kilogram. Ya, berat memang sangat penting bagi sebuah jentera lumba.

Jengah sahaja ke bahagian dalam dan perkara pertama yang akan korang perasan ialah tempat duduk BRIDE original yang diluluskan FIA serta kemasan serat karbon pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah. Yaa, mana nak dapat jentera drift dengan kemasan serat karbon yang  berkilat macam ni kat Malaysia.

Sambungan ECU, meter dan harness semua dihasilkan oleh Zokusha Harness Master. Jangan main-main dengan Zokusha ni sebab diorang memang terer dalam bidang ni. Jangan marah kalau abang Japar mintak diorang bikin Alza Vtectec. Terbeliak mata geng Alza baru nanti.

Fabrikasi luar dan dalaman memang dilakukan sendiri oleh TPR. Ia boleh dikatakan sebagai kebanggaan negara sebab kualiti akhirnya memang cukup menakjubkan. Dah nampak setanding dengan jentera-jentera drift antarabangsa.

Hasilnya lahirlah sebuah jentera drift yang menelan belanja RM650k untuk dihasilkan. Tak payah cakap #baikbelirumah sebab kemampuan semua manusia tidak sama. Kalau korang nak juga cubalah melawat TPR untuk bertanyakan tentang kos untuk menaiktaraf kereta sendiri. Bila dah siap jangan lupa bagitahu kami deh.

Google ads
Back to top button