
LELAKI JEPUN INI MELAKUKAN WHEELIE SEJAUH 500KM DENGAN SKUTER 125cc!
Tahun lalu, pelumba motorcross dan penunggang uji motosikal profesional, Dougie Lampkin mencatat rekod tersendiri apabila berjaya melakukan wheelie sepanjang litar Isle of Man TT. Ya. Itu memang satu rekod cukup hebat dengan menggunakan sebuah motosikal yang telah diubah suai sedikit bagi tujuan tersebut.
Tetapi, rekod wheelie yang dilakukan oleh seorang lelaki Jepun ini pasti membuatkan kita menggaru kepala tidak percaya. Masaru Abe dilaporkan berjaya melakukan wheelie secara berterusan sejauh 500km yang memakan masa selama hampir 13 jam! Lebih mengagumkan, rekod yang dicipta di kemudahan Kawaguchi Auto Race di Saitama, Jepun itu hanya menggunakan sebuah skuter bersesaran 125cc tanpa sebarang ubah suai.
BACA: AHLI SUMO BUAT WHEELIE DENGAN BAJAJ PULSAR
Walaupun litar tersebut berbentuk bujur, Abe mengekalkan mampu kelajuan sekitar 40km/j. Imbangan badan dan pulasan pendikit minyak yang konsisten membolehkan dia mencapai jarak 39.2km untuk jam pertama.
Selepas dua jam, Abe mula berasa sakit pada bahagian bawah belakangnya dan terpaksa mengambil pil tahan sakit ketika motosikalnya masih bergerak. Berbekalkan latihan selama lebih 10 jam, Abe dapat meneruskan perjalanan tanpa sebarang masalah.
Lapan jam dan 18 minit kemudian, dia berjaya memecahkan rekod 331km yang sebelum ini yang dicatat oleh Yasuyuki Kudo. Menyedari kejayaan itu, Abe dilihat mengangkat tangan kiri dan disambut oleh sorakan gemuruh daripada penonton.
Selepas 12 jam, dia menjerit kesakitan dan mahu berhenti. Kesakitan itu sudah tidak dapat ditahan lagi sejam kemudian. Akhirnya roda hadapan skuter tersebut kembali menyentuh permukaan jalan setelah berjaya mencatat jarak sejauh 500.5km yang sudah cukup untuk menamakannya sebagai raja wheelie.
“Jika saya tidak pergi jauh dengan had kemampuan saya sepenuhnya, orang lain akan melakukannya. Saya fikir, jika hendak cuba memecahkan rekod, saya perlu mendapatkan angka yang membuatkan orang lain sukar untuk percaya.
“Kedua-dua belah tangan saya kebas akibat sakit dan akhirnya saya tidak rasa apa-apa lagi. Ini adalah sakit paling teruk pernah saya alami. Pandangan saya kabur dan saya seperti separuh sedar. Saya juga mengalami dehidrasi,” kata Abe.
Sasaran awalnya ialah sejauh 600km. Namun, catatan 500.5km itu pasti sukar untuk dicabar dalam tempoh beberapa tahun lagi.
kredit teks/foto: Autoevolution