Buletin

TOYOTA bZ5 DILANCARKAN DI CHINA – GUNA BATERI BLADE BYD, HARGA BERMULA RM84K

Toyota terus meluaskan barisan kenderaan elektriknya dengan pelancaran rasmi bZ5, sebuah SUV coupe elektrik bersaiz sederhana.

Toyota bZ5 ditawarkan pada harga antara 129,800 hingga 159,800 yuan (sekitar RM84,500–104,000) di pasaran China.

Model ini merupakan EV ketiga keluaran Toyota selepas bZ3 dan bZ4X, dan dibina berasaskan pelantar e-TNGA.

Yang menarik, bZ5 menggunakan bateri Blade jenis lithium iron phosphate keluaran BYD yang terkenal dengan tahap keselamatan dan ketahanan tinggi.

bZ5 ditawarkan dalam empat varian:

  • 550 Joy – 129,800 yuan (RM84,500)
  • 550 Pro – 139,800 yuan (RM90,900)
  • 550 Pro Smart Edition – 159,800 yuan (RM104,000)
  • 630 Pro – 159,800 yuan (RM104,000)

Terdapat dua kapasiti bateri, 65.28kWh dan 73.984kWh, yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 550km dan 630km masing-masing (mengikut piawaian CLTC).

Setiap varian menggunakan motor hadapan TZ200XS003 daripada Fudi Power, menghasilkan kuasa 200kW dan tork 330Nm.

Sistem pengecasan pantas 90kW membolehkan bateri dicas daripada 30% ke 80% dalam hanya 27 minit.

Reka bentuk bZ5 dipengaruhi oleh konsep Toyota Crossover EV, dengan wajah hadapan berinspirasikan “hammerhead shark”, lampu utama berbentuk C dan jalur LED penuh di hadapan. Bumbung landai gaya coupe, pemegang pintu tersembunyi dan rim 21-inci menyumbang kepada rupa moden dan elegan.

Lampu belakang pula bergaya jalur penuh dengan rekaan terbalik-C. Saiz keseluruhan adalah 4,780mm panjang × 1,866mm lebar × 1,510mm tinggi, dengan jarak roda 2,880mm, menjadikannya lebih besar daripada model bZ4X.

Bahagian dalamannya tampil minimalis dengan elemen teknologi seperti:

  • Skrin infotainmen terapung 15.6-inci
  • Kluster instrumen digital penuh
  • Pemilih gear jenis tombol elektronik
  • Kawalan suara dan isyarat tangan
  • Integrasi telefon pintar

Kesemua model dilengkapi dengan 9 beg udara SRS, termasuk beg udara sisi dari tiang A ke tiang C serta satu beg udara tambahan di antara tempat duduk hadapan.

Model ini turut dilengkapi teknologi bantuan pemanduan canggih seperti Sistem Toyota Pilot (dibangunkan bersama Momenta 5.0) menawarkan lebih 30 ciri bantuan pemanduan menggunakan 33 penderia, termasuk LiDAR untuk varian lebih tinggi. Ia juga menggunakan platform pemprosesan 544 TOPS yang membolehkan Navigation on Autopilot (NOA) di kawasan bandar.

Ciri-ciri mewah lain termasuk:

  • Bumbung kaca panorama 1.44m²
  • Pencahayaan ambien 256 warna
  • Sistem audio JBL 10 pembesar suara
  • Kaca akustik untuk kesenyapan kabin
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi baring rata automatik
  • Empat “Nap Modes” untuk mod rehat dalam kabin

Toyota bZ5 akan bersaing dalam pasaran SUV elektrik pertengahan yang kini dikuasai oleh Tesla Model Y, Leapmotor C10 (dari 128,800 yuan / RM83,900) dan Deepal S07 (dari 159,900 yuan / RM104,100).

Google ads
Back to top button