Buletin

THAILAND TENAT, VIETNAM MENGGANAS! SIAPA RAJA BARU INDUSTRI KERETA ASEAN?

Industri automotif Thailand, yang suatu ketika dahulu merupakan peneraju di rantau ASEAN, kini berdepan tekanan hebat apabila perubahan landskap serantau dan kelembapan permintaan domestik menjejaskan prestasinya.

Pada tahun 2024, jualan kenderaan ringan di Thailand menyusut sebanyak 26 peratus tahun ke tahun (YoY), manakala suku pertama 2025 menyaksikan penyusutan tambahan sebanyak 7 peratus YoY, sekali gus mencerminkan kelemahan berterusan dalam permintaan tempatan.

Segmen Kenderaan Penumpang dan Kenderaan Komersial Ringan turut mengalami penurunan dalam tempoh yang sama.

LCV, khususnya pasaran trak pikap 1 tan, menyaksikan kemerosotan ketara sebanyak 13 peratus YoY, manakala segmen PV menurun 5 peratus, mencerminkan sikap berhati-hati pengguna dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Langkah Sokongan Kerajaan: Fokus Pada Trak Pikap

Bagi menangani cabaran ini, kerajaan Thailand melancarkan satu inisiatif pembiayaan bermula 1 April hingga 30 Disember 2025 untuk menjamin pinjaman sewa beli trak pikap.

Program ini bertujuan memudahkan akses pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengurangkan risiko kepada syarikat kewangan.

Sasaran program ini ialah untuk merangsang pembelian lebih 6,250 unit trak pikap baharu, segmen yang mewakili 29 peratus daripada jumlah jualan LV pada 2024, berbanding 47 peratus pada 2022.

Walau bagaimanapun, jumlah sasaran itu hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah jualan tahunan Thailand iaitu 566,000 unit pada 2024, jauh lebih rendah daripada hampir sejuta unit pada 2019 sebelum pandemik COVID-19.

Namun, kebimbangan masih timbul apabila hutang isi rumah yang tinggi dan keadaan ekonomi semasa dijangka menghalang ramai pengguna daripada mengambil pinjaman baharu, sekali gus menjejaskan keberkesanan inisiatif tersebut.

Dari Peneraju ke Ketiga: Ancaman Dari Vietnam

Thailand kini jatuh ke tempat ketiga terbesar dalam pasaran automotif ASEAN, di belakang Indonesia dan Malaysia. Sekiranya tiada dasar proaktif diperkenalkan dan Vietnam mengekalkan momentumnya, Thailand berisiko tergelincir ke tempat keempat menjelang 2025.

Vietnam mencatat pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 53 peratus YoY dalam Q1 2025, hasil daripada permintaan pengguna yang kukuh, dasar kerajaan yang menyokong industri, serta kebangkitan pengeluar tempatan seperti VinFast.

Pemulihan sektor hartanah turut menyumbang kepada peningkatan jualan kenderaan selepas kelembapan pada 2023.

Sebaliknya, Thailand terus berdepan tekanan ekonomi seperti kredit ketat, kelewatan pelancaran model baharu akibat sentimen berhati-hati dalam kalangan pengeluar, dan ketidaktentuan ekonomi global.

Unjuran Jualan 2025: Rekod Rendah Buat Thailand

Bagi keseluruhan 2025, unjuran semasa menunjukkan Thailand bakal mencatat hanya 555,000 unit jualan, iaitu paras terendah dalam 15 tahun, manakala Vietnam dijangka mencatat 512,000 unit, rekod tertinggi negara itu.

Senario terburuk bagi Thailand diunjurkan serendah 519,000 unit, manakala senario terbaik mencecah 571,000 unit. Bagi Vietnam pula, unjuran berkisar antara 489,000 hingga 549,000 unit, bergantung kepada keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.

Kekuatan Jangka Sederhana: Pengeluaran & Teknologi

Meskipun jualan domestik melemah, Thailand dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai hab pengeluaran dan eksport automotif terbesar ASEAN, dengan sasaran pengeluaran sebanyak 1.39 juta unit pada 2025. Namun, angka ini masih lebih rendah berbanding 1.47 juta unit pada 2024 dan jauh dari paras 1.99 juta unit pada 2019.

Kerajaan Thailand masih memiliki kelebihan dari segi sokongan strategik terhadap kenderaan elektrik dan hibrid (xEV), pemulihan pasaran eksport utama, serta pelaburan berterusan dalam teknologi kenderaan generasi baharu.

Elemen-elemen ini dijangka dapat menstabilkan sektor automotif dan memulihkan daya saing Thailand dalam jangka sederhana, walaupun masa depan jangka pendek masih penuh dengan ketidakpastian.

Google ads
Back to top button