
CHERY BAKAL CIPTA SEJARAH SEBAGAI PENGELUAR KENDERAAN CHINA PERTAMA EKSPORT LEBIH 5 JUTA UNIT
Chery Automobile Co. Ltd dijangka mencipta sejarah sebagai pengeluar automotif pertama dari China yang berjaya mengeksport lebih daripada lima juta kenderaan secara kumulatif menjelang 20 Jun ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Kumpulan Chery, Yin Tongyue, ketika menyampaikan ucapan pada International Automotive and Supply Chain Expo di Hong Kong.
Acara ini turut menjadi penampilan sulung Chery di pentas auto Hong Kong, dengan rancangan pelancaran rasmi kenderaan Chery di pasaran tersebut menjelang akhir tahun ini.
Chery hadir ke ekspo berprestij ini dengan barisan 12 kenderaan tenaga baharu (NEV) merentas tujuh sub-jenama utama – Chery, Exeed, Jetour, iCAR, Luxeed, Omoda dan Jaecoo, merangkumi pelbagai keperluan mobiliti dari kegunaan harian sehingga penerokaan luar jalan.

Pendekatan ini mencerminkan komitmen Chery terhadap elektrifikasi dan kepelbagaian produk.
Dari Januari hingga Mei 2025, Kumpulan Chery mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak 1,026,517 unit, meningkat 14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jualan NEV melonjak 111.5 peratus kepada 287,798 unit, manakala eksport mencecah 443,940 unit – memperkukuh kedudukan Chery sebagai peneraju eksport automotif China. Purata masa eksport kini ialah setiap 29 saat, satu kenderaan Chery dihantar ke luar negara.
Pada bulan Mei sahaja, jumlah jualan kumpulan mencecah 205,732 unit (naik 9.1 peratus), termasuk 191,567 unit oleh Chery Automobile Co., Ltd (naik 7.2 peratus).

Jualan NEV bagi bulan itu meningkat 47.7 peratus kepada 63,169 unit, dengan jumlah eksport sebanyak 100,737 unit (naik 7.7 peratus). Sehingga hujung Mei, jumlah pengguna global Chery melebihi 16.7 juta, termasuk lebih 4.94 juta pengguna luar negara.
Awal tahun ini, Chery telah mengemukakan permohonan penyenaraian di Bursa Saham Hong Kong, dengan hasrat menjadikan kota itu sebagai hab global bagi kewangan, logistik, inovasi dan sumber bakat.
Syarikat itu juga sedang menilai kemungkinan untuk membuka kilang pemasangan di Hong Kong, sebagai sebahagian daripada usaha peluasan global.
Dari sudut kewangan, bagi tiga suku pertama 2024, Chery melaporkan pendapatan sebanyak 182.15 bilion yuan (sekitar RM120 bilion) dan keuntungan bersih 11.31 bilion yuan (sekitar RM7.46 bilion).
Di ekspo tersebut, Chery turut memperkenalkan teknologi terkini termasuk enjin Kunpeng Tianqing dengan kecekapan 48 peratus, motor elektrik berkelajuan tinggi 30,000rpm, serta produk pintar seperti robot Mogu.
Pihak pengurusan turut mengesahkan bahawa dana hasil penyenaraian IPO itu akan digunakan terutamanya untuk penyelidikan dan pembangunan NEV serta pengembangan pasaran luar negara, sejajar dengan komitmen jangka panjang Chery terhadap pertumbuhan berasaskan teknologi.
- BACA: RENATE NOESSLER TERAJUI VPCM, CIPTA SEJARAH SEBAGAI PENGARAH URUSAN WANITA PERTAMA SYARIKAT
- BACA: SUV ELEKTRIK XPENG G7 TERIMA 10,000 TEMPAHAN DALAM 46 MINIT!
- BACA: TOYOTA PERKENAL MODEL EV FLAGSHIP DENGAN TEKNOLOGI HUAWEI DAN XIAOMI
- BACA: PROJEK LEKIU: NAIK TARAF LEWAT 15 TAHUN, MASIH RELEVAN?