
VOLKSWAGEN ID.2 MUNCUL BUAT PERTAMA KALI, EV PALING MAMPU MILIK
Volkswagen semakin hampir memperkenalkan kereta elektrik paling mampu milik, sebuah hatchback kompak yang bakal dikenali sebagai ID.2.
Buat pertama kali, model produksi sebenar telah dilihat dalam bentuk prototaip jalanan. Menariknya, jentera ini menyamar sebagai model VW lain yang sudah pun ‘pencen’ iaitu generasi keenam Polo, bagi mengelirukan mata umum.
Sebelum ini, versi prototaip ID.2 hanyalah kerangka awal yang dibina berasaskan model lebih besar, ID.3. Namun, apa yang tertangkap kamera kini menunjukkan badan sebenar kereta tersebut, lengkap dengan bentuk dan elemen rekaan produksi.

Seperti biasa, VW menggunakan pelekat khas untuk menutup rupa sebenar, gril depan, lampu hadapan dan belakang, malah pemegang pintu belakang pun sebenarnya hanya pelekat. Pemegang sebenar tersembunyi di bingkai pintu, berhampiran garisan tingkap.
Namun, jika anda tahu apa yang perlu diperhatikan, pasti akan nampak jejak reka bentuk asal konsep ID.2all seperti gril tipis, bar lampu belakang melintang, dan bentuk segi tiga pada panel suku belakang yang ikonik bagi VW.
Beberapa ciri dari konsep asal berjaya diterjemah ke rekaan sebenar, seperti ruang roda yang penuh dan posisi roda di penjuru badan, serta garis badan yang melengkung ke atas. Tetapi bonet untuk versi produksi nampaknya lebih pendek, dipisahkan dari lencana hadapan oleh panel plastik.

ID.2 ini bakal menjadi model pertama dalam barisan EV kompak baharu VW yang dibina menggunakan versi asas daripada platform MEB. Berbeza dengan model MEB semasa seperti ID.3, ID.4 dan ID.Buzz yang pacuan roda belakang, ID.2 serta versi SUV dan model ID.1 yang lebih kecil akan menggunakan pacuan roda depan.
Selain itu, bateri jenis NCM akan digantikan dengan teknologi LFP yang lebih murah, membolehkan VW menurunkan harga ID.2 kepada sekitar €25,000 (kira-kira RM127,000) sebagai langkah menyaingi kemunculan EV bajet dari pengeluar lain di Eropah.
Volkswagen juga telah memberi petanda tentang versi lebih sporty, iaitu ID.2 GTI. Walaupun prototaip kali ini menampilkan rim aloi gaya forged, spoiler bumbung, dan bampar yang kelihatan agresif, ia masih belum seganas versi konsep ID.GTI yang dipamerkan pada 2023.

Sistem brek depan yang kecil pada prototaip ini juga mengisyaratkan bahawa ia mungkin hanyalah versi asas ID.2, bukan GTI sebenar.
Satu lagi perubahan besar adalah VW dijangka meninggalkan sistem penamaan “ID” sepenuhnya, dan memberi nama sebenar untuk model ini serta model seterusnya.
Kalau anda minat EV kompak Eropah dengan bajet sederhana, inilah model yang patut ditunggu – walau pun buat masa ini, ia masih menyamar di balik wajah Polo lama.
- BACA: KAJI TINDAKAN TUKAR PENGHADANG JALAN KEPADA POLIMER, KURANG RISIKO MAUT – PAKAR
- BACA: LEAPMOTOR C10 2025 KINI LEBIH PRAKTIKAL, PENUH GAYA – HARGA BERMULA RM125K
- BACA: BENTLEY MULSANNE GRAND LIMOUSINE 2016 INGIN DILELONG. ADA 12 UNIT AJA NI OI DALAM DUNIA!
- BACA: XPENG G7: SUV ELEKTRIK ‘AI CAR’ PERTAMA DUNIA DENGAN CIP BUATAN SENDIRI TURING