Buletin

TOYOTA C-HR JDM MUNCUL DENGAN DUA VARIAN BAHARU YANG LEBIH SELAMAT

Salah satu model yang tidak lagi ditawarkan di pasaran Malaysia adalah SUV Toyota C-HR.

Namun di Jepun, ia masih lagi ditawarkan secara rasmi dan Toyota Jepun telah mengemaskini model tersebut dengan memperkenalkan dua varian baharu, iaitu G ‘Mode-Nero Safety Plus III’ dan G-T ‘Mode-Nero Safety Plus III’.

Kedua-dua model C-HR ini mendapat kelengkapan keselamatan yang hampir sama, seperti sistem mitigasi pelanggaran depan dan belakang, sistem radar yang mampu mengesan kehadiran kenderaan dari sisi kanan dan kiri, serta sistem pemantauan keliling panorama.

Varian C-HR baharu ini boleh dilayangkan dengan warna baharu Inazuma black, serta warna sedia ada seperti Black Mica, Metal Stream Metallic dan Platinum White Pearl Mica.

Set tayar unik bersaiz 18×7 inci dimuatkan pada keempat-empat sudut dengan kemasan hitam kusam, serta balutan tayar 225/50 R18 depan dan belakang.

Perbezaan antara kedua-dua model ini adalah penawaran enjin, di mana varian G-T ‘Mode-Nero Safety Plus III’ didatangkan dengan nadi 1.2 liter turbo, sementara varian G ‘Mode-Nero Safety Plus III’ pula hadir dengan trenkuasa 1.8 liter hibrid.

Harga jualan untuk dua varian baharu ini bermula dari 2,725,000 yen (RM90,089) untuk varian G-T sementara varian G pula bermula dari 3,055,000 yen (RM100,999).

Google ads
Back to top button