
TOYOTA WiLL – MODEL PELIK YANG JARANG DAPAT DILIHAT
Rasanya tak ramai pun antara kita yang pernah melihat mahu pun mendengar nama Toyota WiLL. Namanya pun dah macam wasiat bila diterjemahkan. Ia merupakan sebuah sedan empat pintu dengan rekaan yang pelik dan hanya dikeluarkan dalam jumlah yang kecil untuk pasaran JDM. Ada beberapa unit pernah dilihat di UK dan memang sukar dikenali tanpa sebarang logo Toyota.

Ia diproduksikan pada bulan Januari tahun 2000 dan merupakan satu projek pemasaran gabungan beberapa syarikat dan hanya Toyota merupakan pengeluar kenderaan. Matlamat mereka ialah untuk memasarkan produk berjenama WiLL yang cukup eksklusif dan terhad untuk pengguna alaf baharu ketika itu.
Kereta ini merupakan sumbangan Toyota untuk jenama baharu ini dan ia merupakan gabungan elemen fesyen, gaya neo-retro dan prestasi sebuah kenderaan moden. Tapi kenapa pelik sangat wahai Toyota?

Rekaan simetri badan kereta ini seperti kokpit pesawat terbang dengan cermin belakang retro inspirasi dari koc kereta kuda zaman silam. Bahagian hadapan dan belakang nampak sepadan macam kereta yang kami mula-mula lukis semasa dalam darjah satu. Penggunaan rim dah tayar bersaiz 15 inci membuatkan kenderaan ini nampak stabil.
Walaupun nampak comel dan pelik, prestasi kereta ini tidaklah hambar sebenarnya. Ia aak responsif kerana diasaskan dari platform Toyota Yaris ataupun Vitz generasi pertama.
Kereta ini juga mesra alam sekitar dengan penggunaan material kitar semula pada bahagian bampar dan komponen dalaman plastik. Penggunaan bahan plumbum dihapuskan pada komponen seperti radiator, teras pemanas dan pendawaian.

Bahagian memang stailo habis dengan tema berbentuk bulat dan pilihan warna seperti musim gugur. Sekali tengok memang dah macam dalam rumah dan bukannya sebuah kereta. Panel kawalan juga kelihatan ringkas dan mengikut keperluan dan bukannya serba hodoh dengan unit paparan sebesar almari lauk nenek abang dulu.
Genap dua tahun pada Disember 2001, pengeluar WiLL ditamatkan setelah 16,000 unit diproduksikan. Selepas 20 tahun model ini memang dah jadi unikon la. Lagi payah nak jumpa berbanding GR Yaris.

Kredit Toyota UK Magazine