Buletin

TOYOTA COROLLA CROSS HEV GR SPORT 2026 RASMI DI MALAYSIA – HARGA KEKAL RM148,800

UMW Toyota Motor melancarkan Toyota Corolla Cross HEV GR Sport versi 2026 untuk pasaran Malaysia, dengan harga masih kekal RM148,800 atas jalan tanpa insurans.

Senarai harga Corolla Cross Malaysia:

  • Toyota Corolla Cross 1.8 V – RM133,800
  • Toyota Corolla Cross 1.8 HEV – RM140,800
  • Toyota Corolla Cross 1.8 HEV GR Sport – RM148,800

Kemas kini bagi versi GR Sport ini boleh dikatakan tidak terlalu ketara, dengan bahagian hadapan menerima beberapa sentuhan baharu.

Antaranya termasuk rekaan gril yang sedikit diperbaharui, bampar hadapan turut disemak semula bersama pelindung bawah (skid plate) yang kini lebih ringkas, memberikan imej lebih sporty.

Di bahagian sisi pula, skirt badan kini mempunyai profil lebih jelas berbanding kemasan licin pada model terdahulu. Bahagian belakang turut menerima gaya diffuser baharu serta skid plate yang dikemaskini bagi melengkapkan perubahan luaran.

Sementara, ciri luaran utama masih dikekalkan termasuk, lampu hadapan Bi-LED dengan isyarat membelok berjujukan, lampu belakang LED dan DRL LED, cermin hadapan akustik, cermin sisi lipat automatik dengan fungsi undur, pintu but berkuasa dengan sensor kaki, rel bumbung, rim aloi GR Sport 18-inci serta lencana dan kit badan khas GR Sport

Di bahagian dalaman, Corolla Cross GR Sport 2026 tampil lebih garang dengan tambahan elemen merah yang lebih menonjol. Jika sebelum ini hanya jahitan merah digunakan, kini kemasan merah turut menghiasi panel instrumen serta trim pintu.

Menariknya, tali pinggang keledar juga kini berwarna merah, manakala logo timbul pada perehat kepala digantikan dengan sulaman emblem “GR”. Sentuhan trim perak gelap baharu pula menaikkan lagi aura sporty dalam kabin.

Kelengkapan lain termasuklah paparan meter digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.1-inci dengan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar, sistem audio enam pembesar suara, pendingin hawa automatik dua zon dengan corong belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa 8 hala, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40 dan boleh laras sandar, empat mod pemanduan (Power, Eco, Normal, EV), brek parkir elektronik, pengecas tanpa wayar dan upholsteri kulit hitam dengan jahitan merah serta sulaman GR.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan. Model ini masih menggunakan enjin 1.8 liter NA empat silinder menghasilkan 98hp dan 142Nm, digabungkan dengan motor elektrik 72hp dan 163Nm.

Jumlah kuasa sistem keseluruhan ialah 122hp, disalurkan melalui transmisi E-CVT. Varian GR Sport turut mengekalkan talaan ECU khas serta suspensi lebih sporty untuk pemanduan lebih responsif.

Corolla Cross facelift ini hadir dengan tujuh beg udara sebagai standard, serta pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi:

  • Sistem Pra-Perlanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Lorong (LDA)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Jejak Lorong (LTA)
  • Lampu Tinggi Automatik (AHB)
  • Pemantau Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintas Trafik Belakang (RCTA)
  • Isyarat Brek Kecemasan (ESS)
  • TPMS
  • Sensor parkir depan dan belakang

Varian GR Sport masih ditawarkan dengan tiga pilihan warna dua tona bersama bumbung hitam:

  • Platinum White Pearl
  • Red Mica Metallic
  • Dark Turquoise

Sebagai tambahan, harga ini turut merangkumi:

  • Waranti kenderaan 5 tahun tanpa had perbatuan
  • Waranti bateri hibrid dan komponen voltan tinggi 8 tahun tanpa had perbatuan

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti bateri selama dua tahun lagi dengan bayaran RM2,950, menjadikan jumlah perlindungan sehingga 10 tahun.

GALERI:

Google ads
Back to top button