
TOBIAS SÜHLMANN KETUA REKA BENTUK BAHARU PORSCHE, BEKAS KETUA PEGAWAI REKA BENTUK MCLAREN!
Porsche mengumumkan pelantikan Tobias Sühlmann sebagai Ketua Reka Bentuk yang baharu bermula pada 1 Februari 2026.
Beliau yang kini berusia 46 tahun akan mengambil alih tanggungjawab daripada Michael Mauer yang telah menerajui jabatan reka bentuk pengeluar Jerman itu selama lebih daripada 20 tahun.
Sebelum perpindahan ini, Sühlmann memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Reka Bentuk di McLaren sejak tahun 2023.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada peralihan generasi dalam kepimpinan Porsche.
Pelantikan ini juga memperlihatkan kerjasama semula antara Sühlmann dan Dr. Michael Leiters yang kini menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Eksekutif Porsche AG.
Menariknya, kedua-dua tokoh ini sebelum ini pernah berkhidmat di McLaren sebelum kembali ke Porsche.
Legasi Dua Dekad Michael Mauer

Michael Mauer yang kini berusia 63 tahun memulakan kerjayanya di Porsche pada tahun 2004 sebagai Ketua Reka Bentuk keempat.
Beliau mengikuti jejak langkah tokoh besar seperti Ferdinand Alexander Porsche, Anatol Lapine dan Harm Lagaay.

Graduan reka bentuk automotif dari Universiti Pforzheim ini menyertai Porsche selepas menimba pengalaman di Mercedes, Smart dan Saab.
Di bawah pimpinan Mauer, beliau berjaya mengekalkan identiti ikonik model 911 sambil menyuntik elemen moden ke dalam barisan model baharu.

Di antara pencapaian utama beliau termasuklah pengenalan Panamera pada tahun 2009 yang merupakan sedan sport pertama Porsche.
Selain itu, beliau bertanggungjawab ke atas fasa pembaharuan model Cayenne dan pembangunan kereta super 918 Spyder.
Beliau juga menjadi watak penting dalam membawa DNA reka bentuk Porsche ke dalam era kenderaan elektrik.

Tobias Sühlmann – Bermula Dari Volkswagen
Tobias Sühlmann yang juga merupakan graduan dari Universiti Pforzheim mempunyai latar belakang yang luas dalam segmen kenderaan mewah dan prestasi tinggi.
Beliau memulakan kerjaya di Volkswagen pada tahun 2005 sebelum beralih ke Bugatti.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Reka Bentuk Luaran di Aston Martin dan seterusnya berpindah ke McLaren untuk kali pertama.

Sebelum kembali ke McLaren sebagai Ketua Pegawai Reka Bentuk pada September 2023, beliau sempat berkhidmat di Bentley dan memainkan peranan besar dalam penghasilan model Batur.
Dr. Michael Leiters menyatakan bahawa pengalaman luas Sühlmann dalam reka bentuk kereta super akan membantu menajamkan lagi profil jenama Porsche terutamanya bagi rangkaian kenderaan dalam sektor kelas atasan.
Bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar, Michael Mauer akan terus memberikan sokongan kepada Sühlmann dalam tempoh transisi tertentu sebelum bersara sepenuhnya.
Ringkasan Maklumat Tobias Sühlmann
- Nama: Tobias Sühlmann
- Umur: 46 tahun
- Jawatan Baharu: Ketua Reka Bentuk Porsche (bermula 1 Februari 2026)
- Pendidikan: Universiti Sains Gunaan Pforzheim
- Rekod Kerjaya: Volkswagen (2005), Bugatti, Aston Martin (Ketua Reka Bentuk Luaran), Bentley (Pengarah Reka Bentuk), McLaren (Ketua Pegawai Reka Bentuk)
- Model Terlibat: Bentley Batur, McLaren Solus GT, Volkswagen Arteon














