
TOYOTA GR STARLET BAKAL LANCAR 2026 – JANA 150HP, HARGA SEKITAR RM76K – RM85K
Toyota bersedia memberi nyawa semula kepada sebuah model ikonik sejak diperkenalkan pada 1973 iaitu Starlet dan kini dalam versi GR (Gazoo Racing), dijangka dilancarkan tahun 2026.
Laporan terbaru dari Jepun mendedahkan bahawa GR Starlet akan menawarkan pengalaman memandu yang penuh keterujaan dengan enjin turbo 1.3 liter, menghasilkan sekitar 150hp.
Jika ini menjadi kenyataan, GR Starlet boleh menjadi model paling mampu milik dalam rangkaian GR Toyota, memberikan peminat satu lagi pilihan menarik di bawah GR Yaris dan GR Corolla.

Menggunakan Platform TNGA-B
Starlet yang dikhabarkan ini mungkin menggunakan platform TNGA-B daripada model Yaris, namun dengan saiz yang lebih kompak.
Kereta lima pintu ini dijangka berukuran sekitar 3,850 mm panjang, menjadikannya sedikit lebih besar daripada Aygo X tetapi lebih pendek daripada Yaris.
Dengan saiz ini, Starlet akan menawarkan keseimbangan sempurna antara kepraktisan bandar dan prestasi yang memukau.
GR Starlet: Jentera Kecil, Prestasi Besar
GR Starlet ini dijangka mendapat “rawatan penuh GR” yang melibatkan kit badan sporty, casis ditingkatkan untuk pengendalian lebih padu, dan sudah tentu, enjin turbo tiga silinder 1.3 liter.
Enjin ini diadaptasi daripada enjin 1.6 liter yang terdapat dalam GR Yaris dan GR Corolla, tetapi dengan saiz lebih kecil untuk disesuaikan dengan dimensi Starlet.

Kuasa enjin ini akan disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi manual enam kelajuan, memberikan sensasi pemanduan yang menyeronokkan dan penuh kawalan.
Dengan berat sekitar 980kg, GR Starlet akan menjadi kira-kira 300kg lebih ringan daripada GR Yaris —ciri-ciri yang pasti menarik minat peminat hot hatch.
Toyota juga dilaporkan sedang membangunkan versi Starlet untuk perlumbaan Rally 4, kategori pacuan dua roda di bawah Kejohanan Rali Dunia (WRC).
Untuk memenuhi peraturan kategori ini, Toyota perlu menghasilkan 25,000 unit model versi jalan raya, yang dijangka dilancarkan pada 2026, manakala kereta rali akan mula bersaing pada musim 2027.
Harga yang dianggarkan bagi GR Starlet di Jepun adalah antara AS$17,600 (RM76,711) hingga AS$19,700 (RM85,864), menjadikannya jauh lebih mampu milik berbanding GR Yaris yang bermula pada AS$31,700 (RM138,167).
- BACA: PROTON UMUM PERMULAAN OPERASI CKD MODEL SAGA LHD DI MESIR
- BACA: BYD XIA DIPERKENALKAN – LEBIH BESAR BERBANDING DENZA D9, JANA 154HP, HARGA RM183K
- BACA: SAKSIKAN BAGAIMANA DRON BANTU KESAN LOKASI KANAK-KANAK HILANG – SYUKUR SEMUANYA SELAMAT
- BACA: WRC2 2024 – SAMI PAJARI MENANG LAGI DI GREECE KALI INI



