
THAILAND LABUR RM5.6 BILION UNTUK BAWA F1 KE BANGKOK MULAI 2028
Kerajaan Thailand telah meluluskan bidaan bernilai AS$1.2 bilion (kira-kira RM5.65 bilion) bagi membawa perlumbaan Formula Satu (F1) ke ibu kota Bangkok bermula tahun 2028.
Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet baru-baru ini, sekali gus membuka jalan kepada penganjuran acara berprestij itu setiap tahun sehingga 2032.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Houngsub, berkata langkah ini akan mengangkat profil Thailand di pentas sukan permotoran dunia.
“Dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, kita bakal menyaksikan kejohanan bertaraf antarabangsa yang sebelum ini sukar dibayangkan akan berlangsung di Thailand,” ujarnya kepada media.

Menteri Pelancongan, Sorawong Thienthong, turut mengesahkan nilai bidaan tersebut yang mencecah 40 bilion baht (kira-kira RM5.65 bilion), dan menekankan potensi besar acara ini dalam merancakkan sektor pelancongan.
Terdahulu pada bulan Mac, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, telah bertemu Ketua Eksekutif Formula One, Stefano Domenicali, dan memaklumkan kesediaan kerajaan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menjadikan Grand Prix F1 di Bangkok satu kenyataan.
Walaupun Thailand mempunyai litar bertaraf antarabangsa FIA di Buriram yang menjadi tuan rumah kepada MotoGP, perancangan F1 kali ini khusus membabitkan perlumbaan jalanan di ibu negara – sama seperti Grand Prix Singapura yang terkenal di rantau ini.
Jika diluluskan, perlumbaan ini bukan sahaja menjanjikan aksi sukan bertaraf dunia, tetapi juga berpotensi menjadikan Bangkok sebagai ikon baharu dalam kalendar F1 global.
- BACA: EJEN TARIK KERETA DITAHAN POLIS CEROBOH RUMAH PEMILIK KERETA
- BACA: GGR MOTOR UMUM INISIATIF GO GREEN REVOLUTION, LANCAR MOTOSIKAL EV BAHARU
- BACA: MALCOLM WILSON DILANTIK SEBAGAI TIMBALAN PRESIDEN FIA. MAKIN MAJULAH SUKAN RALI
- BACA: AUDI Q3 2026 DIPERKENALKAN – REKAAN LEBIH GARANG, ANGGARAN HARGA SEKITAR RM218K