TREND LOMPAT DEPAN LORI BERGERAK LAJU DI INDONESIA, REMAJA MAUT DIREMPUH
Trend baharu yang tular di media sosial Indonesia dikecam kerana mendorong sebilangan remaja melakukan aksi berbahaya dengan melompat di hadapan lori yang sedang bergerak sehingga mengakibatkan kematian.
Menurut portal berita Coconuts, beberapa rakaman video memaparkan remaja melakukan aksi berbahaya itu menjadi tular, malah ada di antara mereka yang maut dilanggar lori.
Satu kejadian yang berlaku minggu lalu menyaksikan seorang remaja berusia 18 tahun dari Tangerang, wilayah Banten mati selepas melompat di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak laju.
Berdasarkan klip video yang dirakam bagi tujuan kandungan tersebut, mangsa bersama dua rakannya dilihat berdiri di hadapan sebatang jalan sambil menanti sebuah lori menuju ke arah mereka.
Sejurus lori itu berada hampir dengan mereka, ketiga-tiga remaja itu cuba mengelak, namun malang bagi mangsa kerana dia gagal berbuat demikian. Dia dilaporkan mati di tempat kejadian akibat dirempuh dan digilis lori tersebut. Pemandu lori dilaporkan ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, di Bandung, satu lagi kejadian serupa berlaku, di mana dua remaja lelaki dilihat melompat di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak laju di sebatang jalan di bandar tersebut.
Seorang daripada mereka berjaya mengelak daripada dilanggar, namun rakannya berusia 14 tahun dilanggar lori tersebut.
Polis berkata, kemalangan itu menyebabkan tempurung kepala mangsa retak dan giginya patah. Dia masih dirawat di hospital, kata polis. – Agensi