
HINO MALAYSIA BUKA PUSAT SERVIS TERBAHARU HASO DI KAJANG
Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (HINO) melancarkan pusat servis bas terbaharu Hino Approved Service Outlet (HASO) di Bandar Teknologi Kajang, Selangor.
Pusat servis bas terbaharu itu merupakan kerjasama dengan pemain industri utama, Terus Maju Services Sdn. Bhd. (TMS).
TMS merupakan penyedia perkhidmatan servis bas sehenti yang disokong pasukan teknikal pengeluaran bas.
Mula beroperasi sejak tahun 1990, TMS menyasarkan menawarkan perkhidmatan dalam memastikan kualiti pengangkutan terbaik kepada sektor swasta dan kerajaan.
Perjanjian perkongsian berkenaan diwujudkan apabila kedua-dua pihak bersetuju mengambil leverage perniagaan kenderaan komersial sedia ada.
Ia juga akan mengembangkan keupayaan perniagaan kedua-dua pihak dengan HINO berupaya melebarkan rangkaian perkhidmatan manakala TMS melengkapkan juruteknik kemahiran profesional mengikut piawaian HINO.
Pelancaran pusat HASO dilaksanakan Pengarah Urusan HINO, Atsushi Uchiyama; Pengarah Hino, Ahmad Yasmin Yahya manakala pengurusan tertinggi TMS ialahPengarah Urusannya Loo Kok Seong dan Pengarah Eksekutif Loo Kiat Keong.
Selain daripada HASO yang dikendalikan oleh TMS, Hino sebelum ini turut mempunyai dua pusat HASO, satu di Pulau Indah berdekatan dengan Pelabuhan Klang, dan satu lagi terletak di Bandar Muadzam Shah.
Menurut Atsushi Uchiyama, pihak Hino sedang merancang membuka lebih banyak pusat HASO di negeri-negeri lain pada masa akan datang.
HASO Kajang terletak di alamat No. 29, Jalan P4/9, Bandar Teknologi Kajang dan mempunyai keluasan 13,200 meter persegi.
Ia dilengkapi tujuh ruang servis, dua ruang cat badan, dan berkeupayaan untuk menyediakan perkhidmatan servis kepada 14 buah kenderaan pada satu-satu masa.
Selain itu, HASO Kajang ini juga turut mempunyai kelengkapan dan peralatan moden termasuk sistem diagnostik HINO DX II yang terkini.
Pusat HASO Kajang ini boleh dihubungi menerusi talian 03-8723 5131.