
TRIUMPH BONNEVILLE BOBBER 2017!
Pengeluar motosikal terkenal dari Britain, Triumph sekali lagi mengejutkan para peminat jentera moden klasik di seluruh dunia apabila memperkenalkan jentera baharunya.
Dikenali sebagai Triumph Bonneville Bobber untuk tahun 2017, ia nyata satu langkah yang bijak oleh firma dari Hinckley itu. Penambahan terkini dalam rangkaian motosikal Bonneville tersebut menggunakan platform enjin sedia ada untuk menghasilkan sebuah motosikal bobber yang begitu bergaya.
Bobber menggunakan khidmat enjin dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 1,200cc yang turut dipasang pada Bonneville T120. Cuma, Enjin Single Overhead Cam parallel Twin itu telah ditala untuk menawarkan lebih kuasa kuda dan low-end torque. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Sebagai pengeluar motosikal berpengalaman, Triumph tidak mengorbankan aspek kegunaan, keselesaan dan kualiti tunggangan semata-mata untuk tampil bergaya. Berbanding pesaingnya seperti Harley-Davidson Forty-Eight, Bobber dilihat lebih praktikal.
Biarpun nampak lebih konvensional, jentera itu menawarkan posisi tunggangan yang selesa. Kedudukan bar hendal, perehat kaki dan tempat duduk yang boleh diubah, jelas ergonomik untuk penunggang yang hadir dalam pelbagai saiz.
Sebagai contoh, dengan hanya melonggarkan dua skru, tempat duduk aluminium itu boleh digerakkan ke hadapan atau ke belakang kira-kira 8cm. Sekali gus menukar posisi relaks sebuah cruiser menjadi posisi roadster yang lebih agresif.
Walaupun bahagian belakang Bobber kelihatan seperti hard-stail (memang sengaja direka begitu), swingarm belakang itu sebenarnya terdiri daripada satu unit monoshock. Dipasang pada bahagian bawah tempat duduk menggunakan sambungan shock, rekaan itu ternyata kemas sekali.
Penunggang boleh mendapatkan maklumat penting tunggangan daripada satu unit paparan tunggal berbentuk bulat. Ia menampilkan speedo analog dan paparan LCD yang memberi maklumat seperti odometer, revs, posisi gear, baki minyak, takat minyak, penggunaan minyak, jam dan talaan kawalan cengkaman.
Sebelum terlupa, tangki minyaknya mempunyai kapasiti sekitar 11.5 liter, jadi anda tidak perlu kerap berhenti di stesen minyak.
Selain lampu utama jenis LED, Bobber dilengkapi pelbagai sistem elektronik untuk keselamatan penunggang. Ini termasuklah pendikit ride-by-wire, kawalan cengkaman, mode tunggangan Road and Rain, sistem brek ABS serta sistem pelumpuh enjin yang disepadukan dengan kunci. Sementara pemegang yang boleh dipanaskan dan kawalan jelajah ditawarkan sebagai pilihan.
Pelanggan boleh memilih beberapa warna menarik seperti merah (Morello Red), hitam (Jet Black) dan Ironstone. Di samping warna dua tona seperti hijau (Competition Green) dan perak (Frozen Silver), lengkap bersama garis yang dilukis menggunakan tangan.
Triumph memberitahu terdapat lebih 150 aksesori untuk Bobber. Ia merangkumi tempat duduk, bar hendal, klip untuk fender, naik taraf suspensi monoshock, ciri kawalan jelajah dan banyak lagi.
Bobber juga dijangka lebih mahal dan mungkin bermula pada takat harga AS$12,000 (RM50,264) di pasaran Amerika Syarikat.
Di Malaysia, aspek pemasaran dan selepas jualan motosikal Triumph dikendalikan oleh pihak Fast Bikes yang beribu pejabat di Petaling Jaya. Berdasarkan kepada rekod mereka sebelum ini, saya yakin Bobber akan menjadi sebahagian daripada tawaran Fast Bikes tidak lama lagi.
GALERI