Artikel Pilihan

TOYOTA GR MUNGKIN BERIKAN NAFAS BAHARU KEPADA STARLET – KALI INI DENGAN 150 HP KUASA

Nampaknya Toyota Gazoo Racing tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berehat. Walaupun sudah melancarkan GR Supra, GR86, GR Yaris dan GR Corolla (kami pernah nampak GR Axia di Kota Bharu bey), kini khabar angin bertiup dari Jepun tentang kemungkinan munculnya satu lagi model terkenal; Toyota Starlet!

Starlet baharu ini dikatakan akan menyertai barisan model GR yang semestinya lebih berkuasa. Toyota sebenarnya dah lama ingin menghidupkan kembali Starlet ini berdasarkan Daihatsu New Global Architecture (DGNA), namun skandal ujian perlanggaran yang heboh baru-baru ini memaksa mereka menunda pelancarannya kepada 2026.

Laporan laman web Best Car dari Jepun menyatakan Starlet baharu ini akan difokuskan kepada sukan rali khususnya Rally 4 di mana ia akan bersaing dengan Renault Clio, Peugeot 208 dan Ford Fiesta. Starlet GR dijangkakan akan lebih lebar berbanding model standard. Semua jentera rali macam tu.

Arca roda yang lebih besar, trek yang lebih lebar dan rekaan bampar yang lebih agresif depan dan belakang akan membezakan Starlet GR dengan model standard yang lebih skema.

Praktikaliti mungkin bukan perkara utama untuk Starlet GR tapi yang pastinya ia tentunya sangat ringan. Sumber dari Jepun mendakwa berat keseluruhan Starlet GR ini hanya sekitar 980 kilogram. 300 kilogram lebih ringan dari GR Yaris. Fuh tambah lagi wishlist abang dik.

Sama seperti GR Yaris dan GR Corolla, Starlet GR juga bakal gunakan enjin berkuasa turbo tiga selinder. Kemungkinan besar ia akan gunakan asas enjin 1.6 liter sekarang tapi dikecilkan saiznya kepada 1.3 liter. Kuasa pula akan dihadkan kepada 150 hp. Separuh daripada kuasa maksima GR Yaris dan Corolla. Dua pilihan transmisi mungkin akan ditawarkan, enam kelajuan manual dan lapan kelajuan automatik.

Perbezaan paling besar antara Starlet GR dan model-model lain keluaran Gazoo Racing ialah ia tidak akan dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda. Sebaliknya kuasa hanya akan dihantar ke roda hadapan!

Nantikan kemunculan hot hatch kegilaan pakcik-pakcik dan abah-abah korang satu ketika dahulu.

Google ads
Back to top button