UJIAN PETROL PETRONAS PRIMAX PRO-DRIVE
Secara peribadi dan jujur, penulis sudah lama tidak menggunakan petrol dari jenama Petronas melainkan jika terdesak ataupu tiada stesen petrol pilihan berhampiran. Itupun penulis hanya mengisi petrol sekitar RM15-20 sahaja setiap kali isian. Pengalaman menggunakan jenama Petronas kurang menngembirakan penulis dan stesen Petronas akan jadi sasaran penulis apabila ingin solat, membeli minuman, mengeluarkan duit dan menggunakan tandas.
Awal tahun 2019 membuka lembaran baru buat syarikat Petronas Dagangan apabila telah melancarkan petrol Primax 95 Pro-Drive untuk pasaran Malaysia. Walaupun petrol generasi terbaru ini kekal dengan kategori Euro 2 namun Petronas menjanjikan bahawa petrol ini dihasilkan untuk menjamin kelancaran operasi enjin, meningkatkan respon enjin dan juga juga penjimatan bahan api berbanding dengan formula terdahulu.
Bagi memenuhi kehendak pasaran yang semakin bersaing hebat, Petronas telah mengubah beberapa formula untuk menjadikan RON95 Petronas relevan dengan situasi semasa. Buat pertama kali Petronas Dagangan telah memperkenalkan “Dual Friction Modifier” dan berdasarkan kajian dalam yang dibuat oleh mereka, penggunaan teknologi ini mengurangkan kehilangan tenaga mekanikal yang dijana oleh enjin akibat geseran sehingga 20%.
Frictional Modifier ataupun pengubah geseran adalah bahan yang ditambah ke dalam adunan RON95 untuk mengurangkan geseran dan kakisan dalam komponen enjin dengan menyediakan lapisan filem perlindungan tambahan antara komponen enjin. Apabila digunakan secara optimum, ia mengelakkan komponen besi untuk bergesel antara satu sama lain sekaligus meningkatkan kecekapan enjin.
Pihak Petronas juga menggandakan dos detergen atau bahan pencuci sehingga ia mampu mencuci sehingga 99% enapan karbon yang terhasil semasa proses pembakaran yang tidak sempurna terutama pada bahagian muncung pemancit bahan api (Nozzle). Nozzle yang kotor akan mengurangkan “volumetric efficiency” dan seterusnya akan menjadikan enjin semakin lemau dan tidak responsif.
Petronas turut menambah agen anti pengaratan yang akan mengurangkan risiko enjin berkarat semasa beroperasi. Suhu nyalaan api yang boleh mencecah sehingga 2500 darjah Celcius dan kehadiran unsur gas Oksigen menjadikan risiko untuk besi berkarat semakin tinggi. Secara relatifnya, ia mampu memanjangkan jangka hayat enjin petrol jika Petronas Pro-Drive digunakan secara berterusan.
Malah pihak Petronas Dagangan juga mengatakan bahawa formula terbaru ini adalah 93% menyamai petrol yang digunakan oleh jentera perlumbaan Formula 1 hasil dari penglibatan mereka dalam perlumbaan Formula 1 bersama pasukan Mercedes-AMG Petronas. Ujian pembangunan petrol serba baru ini dijalankan di fasiliti ujian Petronas di Eropah termasuklah ujian jalanan di Amerika Syarikat. Ujian yang dilakukan secara ekstensif ini menggunakan model popular seperti Toyota Corolla, Toyota Camry Hibrid, dan juga BMW.
Jadi bagi menguji adakah Petronas Primax 95 Pro-Drive ini boleh memenuhi citarasa pemanduan penulis, maka ujian jalanan telah dijalankan dengan menggunakan kereta – kereta yang dimiliki oleh penulis seperti Perodua Axia 1.0 automatik, Perodua Myvi 1.5 D20N automatik, Perodua Alza 1.5 automatik dan juga Honda City 1.5 iVTEC CVT yang melibatkan ujian pemanduan jarak dekat dan juga jarak jauh.
Perodua Alza 1.5 SE Auto
Penulis menguji Alza ini melalui satu pemanduan jarak jauh sepanjang 567km. Alza ini diisi dengan Petronas Primax Pro-Drive RON 95 dengan 4 penumpang dewasa dan juga 1 penumpang kanak-kanak. Alza merupakan MPV 7 tempat duduk, namun 2 tempat duduk belakang hanya mampu memuatkan penumpang dewasa untuk jarak dekat sahaja ataupun khas untuk kawan-kawan anda yang liat untuk membayar hutang.
Semasa ujian halaju kereta adalah sekitar 110-130km/h melalui cuaca panas dan juga hujan lebat. Alza dengan gandingan enjin 1500cc DVVT dan cesi seberat 1160kg bukanlah satu gandingan yang ideal untuk formula “power to weight” ratio. Ditambah pula dengan penggunaan gear 4 kelajuan yang mesra untuk kelajuan tinggi, tapi tidak untuk pecutan menjadikan proses memecut dan memotong kenderaan lain sedikit merenyahkan.
Namun dengan penggunaan Primax Pro-Drive, ia masih lagi mampu memecut dengan sekata dan masalah “gear hunting” seperti kurang terjadi. Secara purata, ia memberikan bacaan purata 12.26km per liter petrol. Selepas semakan, penulis mendapati bacaan purata penggunaan petrol Alza adalah sekitar 12.7km per liter petrol. J
Perodua Myvi 1.5 Advance dengan Eco Idle
Berbandingan dengan Alza yang menggunakan enjin teknologi lama, Myvi ini datang dengan enjin 2NR-VE yang banyak menggunakan teknologi Toyota. Salah satu ciri teknologi yang diperolehi ialah jujukan pemasaan injap dual-VVTi yang dipasang pada injap kemasukan dan juga injap ekzos.
Teknologi dual VVTi yang diaplikasikan membolehkan Myvi menggunakan teknologi pengitaran gas ekzos seterusnya akan meningkatkan “thermal efficiency” enjin. Ujian jalanan Myvi melibatkan laluan sejauh 355km dengan baki petrol membolehkan ia dipandu sejauh 65km. Jalan yang dipilih melalui Simpang Pulai – Kampung Raja- Loji dan berakhir di bandar Kota Bharu merupakan gabungan jalan berselekoh, laluan mendaki dan juga jalan lurus.
Purata halaju yang dipandu adalah sekitar 90-110km/h dan pemandu tiada langsung niat untuk memandu secara berhemah tapi membiarkan cesi Myvi melayan selekoh sesedap rasa. Secara purata dengan menggunakan Primax Pro-Drive, Myvi mencatatkan bacaan sekitar 17.5km per liter bahan api.
Perodua Axia 1.0 Automatik
Perodua Axia yang digunakan disini datang dengan kotak gear 4 kelajuan automatik namun ia menggunakan enjin lama yang tidak memiliki teknologi jujukan injap VVT-i. Kod enjin ialah 1KR-DE2 dibuat hanya menghasilkan sekitar 65 kuasa kuda sahaja. Namun memiliki cesi dan berat yang ringan banyak membantu Axia mendapatkan penjimatan bahan api yang bagus.
Bagi ujian yang melibatkan kereta Axia, laluan yang digunakan ialah gabungan laluan bandar dan lebuh raya sejauh 463km dan dipandu dengan halaju purata 110km/h. Laluan bandar merangkumi 25% manakala laluan lebuh raya ialah 75%. Bacaan purata ialah 15.7km/h, 2 tin kopi dan juga sebungkus kacang untuk mengelakkan pemandu mengantuk ketika ujian dilakukan. Secara perbandingan, bacaan ini lebih kurang sama dengan bacaan untuk petrol dari jenama lain.
Honda City 1.5 i-VTEC
Honda City dikuasakan oleh enjin 1500cc dan digandingkan dengan kotak gear automatik CVT digunakan dalam ujian. Honda ini mempunyai 2 kelebihan bagi membolehkan ia mendapat bacaan purata yang lebih baik iaitu unit enjin dengan jujukan injap i-VTEC dan kotak gear CVT sendiri. Malah enjin ini sendiri ada kebolehan untuk beroperasi dalam keadaan mode Normal ataupun mode Eco dimana mode Eco akan memastikan penukaran gear dibuat secara efisyen dan kuasa pemampat penyaman udara diturunkan.
Enjin i-VTEC ini walaupun menggunakan injap teknologi SOHC namun kuasa yang dihasilkan ialah 118 kuasa kuda. Mekanisme i-VTEC yang hadir membenarkan enjin ini melakukan pengitaran asap ekzos bagi mendapatkan kecekapan thermal dan juga bukaan injap yang lebih tinggi untuk lebih kuasa pada RPM yang tinggi. Jadi pemandu akan mendapat 2 enjin dalam 1 iaitu jimat dan berkuasa.
Namun berbanding kereta lain yang menjalani ujian untuk pemanduan jarak jauh, Honda City yang digunakan dipaksa melalui ujian perjalanan jarak dekat, melalui kesesakan jalan raya pada waktu pagi dan trafik sibuk (perlahan- berhenti di lampu trafik) sebanyak 45%. Baki 55% ialah ujian perjalanan melibatkan lebuh raya. Jadi kadar penggunaan petrol akan menjadi berbeza. Malah ketika memandu di lebuh raya, penulis mengambil kesempatan untuk memecut Honda City ke halaju 180km/h untuk menguji kemampuan petrol.
Selepas ujian, jarak yang boleh dilalui oleh Honda City untuk setangki Primax Pro-Drive ialah sekitar 551km dan purata penggunaan bahan api ialah 15.2km per liter bahan api. Bagi penulis ia adalah satu angka yang memuaskan memandangkan separuh perjalanan melibatkan laluan bandar, mencapai halaju 180km/h untuk beberapa ketika manakala baki perjalanan adalah purata antara 120-140km/h.
Data dan Pemerhatian
Model | Berat (kg) | Jarak | Halaju (km/h) | Purata (km/l) | Data Pengeluar |
Alza | 1160 | 574 | 110-130 | 12.26 | 12.7 |
Myvi | 1015 | 420 | 90-110 | 17.5 | 20 |
Axia | 840 | 463 | 70-110 | 15.7 | 21.73 |
City | 1016 | 550 | 60-120 | 15.5 | 17.54 |
Berdasarkan data yang dibuat, Alza yang menggunakan Primax Pro-Drive menghampiri bacaan yang diberikan oleh pengeluar mungkin disebabkan ujian dijalankan di laluan lebuh raya sepenuhnya. Axia pula mencatatkan bacaan yang jauh berbeza berbanding dengan bacaan yang dibuat oleh pengeluar. Salah satu faktor ialah ia masih menggunakan enjin lama tanpa VVT-i dan juga telah menghampiri tempoh waktu untuk servis. Honda City pula walaupun dilengkapi dengan kotak gear CVT, ujian yang dilakukan dalam trafik bandar yang sibuk sedikit sebanyak mempengaruhi penggunaan petrol. Myvi generasi baru mencatatkan bacaan yang paling tinggi dan pengalaman pemanduan dengan petrol Primax Pro-Drive membuktikan petrol terbaru ini lebih baik berbanding formulasi lama
Dari pemerhatian penulis untuk semua kereta yang diuji dengan Primax Pro-Drive, petrol generasi baru ini memberikan ledakan kuasa setara dengan petrol jenama luar yang sering digunakan oleh penulis. Namun prestasinya masih tidak boleh mencabar RON97 dari jenama lain mahupun RON 100 yang pernah dicuba oleh penulis. Tapi jika dibandingkan dengan formulasi yang lama Petronas, ia jauh lebih baik dan lebih responsif.
Selepas beberapa kali ujian dibuat ke atas beberapa kereta penulis memutuskan untuk mendaftarkan kad kesetiaan My Mesra Petronas dan sudah tentu Petronas Primax Pro-Drive akan menjadi salah satu pilihan penulis. Pada pendapat penulis, Petronas Primax Pro-Drive patut diperkenalkan lebih awal dan ditambahbaik masa ke semasa agar tidak ketinggalan. Untuk pemandu yang sudah mencuba Primax Pro-Drive ini, anda boleh berkongsi pengalaman pemanduan anda berkenaan petrol formulasi baru ini.