Buletin

PROTON KEMBALI DI KEDUDUKAN KEDUA SELEPAS 3 TAHUN – TERIMA KASIH KEPADA X70 & SAGA

PROTON meneruskan momentum positif pada 2019 apabila mencatat angka jualan yang meletakkannya di kedudukan kedua pada bulan April.

Sebanyak 7,011 unit dijual pada bulan lalu, naik 14.1% berbanding Mac dan peningkatan 75% berbanding April 2018.

Kejayaan ini dicapai meskipun terdapat penurunan dalam TIV sebanyak 6.2% dari bulan ke bulan. Ia juga menjadikan PROTON sebagai satu-satunya jenama automotif di barisan lima teratas yang mencatat pertumbuhan positif.

Fakta itu menunjukkan jualan keseluruhan meningkat sebanyak 50.2% setakat tahun ini.

Saga juga telah menggantikan Proton X70 sebagai model paling laris dengan jualan sebanyak 3,047 unit. Ini merupakan pertama kali Saga berjaya memecah rekod jualan sebanyak 3,000 unit sejak Ogos 2018, ketika tempoh jualan tanpa GST selama tiga bulan.

Jenama automotif kedua terlaris di Malaysia

37 bulan selepas PROTON kali terakhir menduduki tempat kedua dalam carta jualan, ia kini kembali ke kedudukan kedua pada April 2019, seterusnya mendahului pasaran automotif.

Prestasi jualan Proton Saga dan Proton X70 yang memberangsangkan jelas menjadi pemacu utama. Peningkatan penjualan juga dibantu oleh pelancaran rasmi Proton Iriz dan Persona 2019 pada 23 April lalu.

Kedua-dua kereta itu dilancarkan serentak selepas aktiviti promosi pra-pelancaran diadakan selama dua bulan. Ini termasuklah pra-tonton media, pelanggan serta penampilan di siri-siri jelajah serta Pameran Auto Malaysia 2019 pada April.

Hasilnya, lebih 4,000 tempahan dicatatkan sebelum pelancaran. Ia membuktikan pembeli tertarik dengan ciri-ciri pintar dan reka bentuk keseluruhan model-model itu.

“Matlamat kami adalah untuk cuba menamatkan tahun ini di tempat kedua, sekali gus membentuk asas yang kukuh dan kembali menerajui pasaran kenderaan di Malaysia.

“Dengan pelancaran Iriz, Persona dan versi facelift Proton Exora dan Saga pada  akhir tahun ini, kami yakin dapat mencapai sasaran tersebut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.

Google ads
Back to top button