
UMW TOYOTA MOTOR CATAT JUALAN 4,856 UNIT PADA FEBRUARI 2026
UMW Toyota Motor (UMWT) terus mencatat prestasi jualan yang stabil apabila merekodkan sebanyak 4,856 unit kenderaan terjual pada Februari 2026, sekali gus menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini sebanyak 9,556 unit.
Prestasi konsisten ini didorong oleh permintaan berterusan terhadap model-model utama Toyota, selain pengukuhan rangkaian pengedar serta perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Pada masa sama, strategi penawaran produk yang lebih segar sejak awal tahun turut membantu memastikan pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan kenderaan yang relevan dengan keperluan semasa.
Pendekatan UMWT tidak hanya bergantung kepada satu model utama, sebaliknya memperluaskan portfolio dengan pelbagai model yang dipertingkatkan serta pilihan kenderaan elektrifikasi.

Strategi ini memberi ruang kepada pelanggan untuk memilih kenderaan yang sesuai merentasi beberapa segmen pasaran.
Antara pemangkin utama pertumbuhan awal tahun ini ialah pengembangan portfolio kenderaan elektrik hibrid (HEV) Toyota.
Dalam segmen sedan B, model seperti Toyota Vios Hybrid dan Toyota Vios HEV GR Sport memperkenalkan teknologi hibrid kepada kategori yang lebih mampu milik.
Bagi segmen SUV pula, versi dipertingkatkan Toyota Corolla Cross HEV GR Sport tampil dengan pendekatan lebih sporty sambil mengekalkan kepraktisan penggunaan harian.

Dalam kategori premium, teknologi hibrid turut diperkukuhkan melalui model seperti Toyota Vellfire HEV dalam segmen MPV mewah, manakala Toyota Harrier HEV pula menawarkan pengalaman pemanduan lebih eksklusif dalam segmen SUV bersaiz sederhana.
Kesemua model ini mencerminkan pelaksanaan strategi Multi-Pathway Toyota yang memperkenalkan teknologi elektrifikasi secara berperingkat merentasi pelbagai segmen – sedan, SUV dan MPV.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K., dalam pasaran automotif yang berubah dengan pantas, pertumbuhan perlu disokong oleh strategi yang jelas dan konsisten.
Pusat 4S Baharu di Pulau Pinang

Dalam perkembangan berkaitan, UMWT turut merasmikan pembukaan Prima Pearl 4S Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 9 Februari lalu.
Pusat bersepadu ini menempatkan kemudahan jualan, servis serta Body & Paint di bawah satu bumbung bagi memudahkan pelanggan di wilayah utara.
Kemudahan tersebut dilengkapi empat unit kenderaan pameran, dua ruang penyerahan kenderaan, 10 ruang servis am serta 10 ruang Body & Paint bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kepada pelanggan Toyota di kawasan berkenaan.
Selain menawarkan produk kenderaan, UMWT turut menumpukan kepada pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.
Program Toyota Service Savers misalnya membolehkan pelanggan mendapatkan pakej penyelenggaraan berkala bermula serendah RM31 sebulan, manakala Toyota Extend pula menawarkan perlindungan jaminan lanjutan bagi model terpilih.
Sepanjang tempoh promosi Mac, pelanggan juga boleh menikmati pakej pembiayaan menarik untuk beberapa model Toyota dengan nilai tawaran sehingga RM7,500, selain ansuran bulanan bermula daripada RM658.
Mengulas menjelang musim perayaan, Ravindran berkata sambutan Hari Raya Aidilfitri sering menjadi waktu penting buat rakyat Malaysia untuk pulang bertemu keluarga.
“Perjalanan pulang ke kampung sering mengingatkan kita tentang kepentingan kebolehpercayaan dan keselamatan. Dengan kenderaan yang disokong rangkaian servis yang kukuh, pemandu boleh memulakan perjalanan dengan lebih yakin,” katanya.







