
VOLKSWAGEN TAYRON – SUV TERBAHARU UNTUK PASARAN EROPAH
Volkswagen bersedia untuk meneruskan penguasaan mereka untuk segmen SUV apabila memperkenalkan model terbaharu, Volskwagen Tayron yang merupakan dikhususkan untuk pasaran di Eropah kelak.
Untuk rekod, sebetulnya plat nama Tayron ini bukanlah sesuatu yang baharu. Plat nama Tayron ini pernah digunapakai bermula tahun 2018 lagi hasil usahasama diantara FAW – Volkswagen yang dikhususkan untuk pengguna di China sahaja.

Bermula kini, Volkswagen mahukan plat nama ini dijadikan sebagai model global dengan ianya akan diposisikan diantara model Tiguan dan juga Touareg. Mempunyai dimensi 4,792 mm panjang, 1,660 mm tinggi dan 1,852 mm lebar, ianya merupakan SUV kedua terbesar mereka di Eropah.
Model yang didatangkan dengan pilihan lima atau tujuh tempat duduk ini direka dan dibangunkan di Wolfsburg yang menjadi pusat pembuatan utama untuk Volkswagen dengan menggunakan evolusi terkini daripada platform MQB.

Rupa bentuk Volkswagen Tayron ini sememangnya dilihat cukup elegan dan menarik tetapi dalam masa yang sama kelihatan cukup mewah. Volkswagen Tayron ini akan didatangkan dengan tiga varian, Life, Elegance dan juga R-Line.
Walau pun untuk varian standard Life, ianya didatangkan dengan pakej yang cukup menarik seperti pendingin hawa tiga zon automatik, 10 pillihan warna latar belakang, sembilan beg udara, kawalan pengalaman pemanduan, kawalan pelayaran adaptif (ACC), sistem brek kecemasan automatik termasuk pemantauan pejalan kaki /penunggang basikal dan juga sistem Park Assist Plus.
Dua lagi varian teratas Elegance dan R-Line akan memfokuskan kepada perincian individu seperti dilengkapi dengan kemasan kayu, penutup but kawalan elektrik, Park Assist Pro dan juga rim bersaiz 18 inci.

Dan untuk R-Line sebagai varian tertinggi, ianya akan ditambahkan dengan ciri tempat duduk sporty yang lebih selesa daripada ArtVelours Eco, malah penggunaan ArtVelours Eco turut diaplikasikan juga pada panel pemuka dan juga kemasan pintu. Rim 19 inci turut digunakan untuk varian ini.
Volkswagen Tayron ini juga turut dilengkapi dengan sistem kawalan suara IDA yang diintegrasikan dengan ChatGPT dan juga sistem bunyi daripada Harman Kardon yang lebih sedap didengar.

Volkswagen akan menawarkan SUV baharu ini dengan dua trenkuasa hibrid plug-in (eHybrid), hibrid ringan (eTSI), dua enjin petrol dengna pengecas turbo (TSI) dan dua enjin diesel pengecas turbo (TDI). Spektrum kuasa berjulat dari 110 kW (150 PS) hingga 200 kW (272 PS). Dua enjin petrol dengan pengecas turbo dan enjin diesel pengecas turbo yang berkuasa akan dipasangkan dengan pacuan semua roda 4MOTION dengan semua versi lain turut dilengkapi dengan pacuan roda hadapan. Semua varian Tayron akan turut dilengkapi dengan kotak gear DSG.
BACA : VOLKSWAGEN T-ROC R BLACK EDITION, KECIL DARIPADA TIGUAN DAN BERKUASA TINGGI