Buletin

VOLKSWAGEN T-ROC R BLACK EDITION, KECIL DARIPADA TIGUAN DAN BERKUASA TINGGI

Selain Tiguan, Volkswagen mempunyai sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu T-Roc dengan saiz lebih kecil.

T-Roc dikeluarkan sejak 2017 dan menggunakan pelantar MQB A1 dan diletakkan di antara T-Cross dan Tiguan.

Panjang T-Roc ialah 4,236 milimeter (mm) atau sedikit pendek berbanding Proton X50 dengan ukuran 4,330 mm. T-Roc juga lebih rendah iaitu 1,584 mm berbanding 1,609 mm pada X50.

Seperti biasa, VW mempunyai varian dengan penampilan sporti untuk ditawarkan melalui T-Roc R-Line. VW juga menjadikan T-Roc lebih istimewa dan berkuasa dengan varian R yang diperkenal pada 2019.

Bukan semua model VW mempunyai versi R dan T-Roc ini sebaris dengan model berprestasi lain.

Satu lagi yang menarik, T-Roc mempunyai versi dua pintu dengan bumbung boleh buka atau cabriolet yang dilancar di Jerman pada 2020.

T-Roc rupa baharu diperkenal pada 2021 dan selain rekaan depan VW turut mengubah papan pemuka.

T-Roc R masih lagi relevan dan VW membuktikannya dengan memperkenalkan R Black Edition untuk pengguna di United Kindgom (UK).

Berbekalkan kuasa tinggi, penampilan dan perkakasan tambahan, Black Edition menduduki tangga teratas T-Roc di UK.

Pakej penampilan Black Edition terdiri daripada perkakasan hitam seperti riasan, rel bumbung, perumah cermin sisi dan rim aloi Estoril saiz 19 inci.

Berbanding T-Roc R standard, Black Edition juga dilengkapi kamera pandang belakang, kerusi depan dengan pemanas, pintu but elektronik dan bumbung suria panoramik yang besar.

Tidak hanya deruman enjin turbo, pemandu dan penumpang juga disediakan sistem audio Beats dengan enam pembesar suara, amplifier digital lapan saluran, subwufer dengan output keseluruhan 300 watt.

Enjin 2.0 TSI menghasilkan 300 ps dan dipadan bersama kotak gear tukaran terus (DSG) tujuh kelajuan dan pacuan semua roda 4Motion.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.9 saat manakala kelajuan tertinggi mencecah 249 km/j.

Harga? 44,250 pound (RM253,061) manakala T-Roc R lebih rendah iaitu 43,000 pound (RM245,923) termasuk VAT.

Google ads
Back to top button