
VOLVO EXECUTIVE CAR SALES KEMBALI, TAWAR HARGA BERMULA RM148K
Volvo Car Malaysia bakal menganjurkan semula program Volvo Executive Car Sales pada 10 dan 11 Oktober 2026, menawarkan sehingga 80 unit kenderaan terpakai premium yang diperakui menerusi program Volvo Selekt Certified Used Cars.
Acara yang berlangsung di Aras 3A, Symphony Square, Petaling Jaya itu menampilkan pelbagai model daripada armada korporat Volvo Car Malaysia, termasuk beberapa unit eksklusif dan model generasi baharu, dengan harga bermula serendah RM148,000.
Melalui program Volvo Selekt, pelanggan berpeluang memiliki kenderaan Volvo pada nilai yang lebih berpatutan tanpa mengorbankan aspek keselamatan, kualiti dan pengalaman pemilikan premium.
Setiap kenderaan yang ditawarkan telah menjalani pemeriksaan menyeluruh melibatkan 125 titik semakan oleh juruteknik terlatih Volvo.

Selain itu, semua unit menerima kemas kini perisian terkini dan menggunakan alat ganti tulen Volvo bagi memastikan tahap prestasi dan kebolehpercayaan yang optimum.
Menariknya, kebanyakan kenderaan yang ditawarkan mempunyai perbatuan rendah, dengan unit paling rendah mencatatkan hanya sekitar 2,000 kilometer.
Pelanggan turut menikmati baki waranti lima tahun tanpa had perbatuan yang masih aktif, bantuan tepi jalan 24 jam serta perkhidmatan sambungan digital Volvo.
Setiap kenderaan juga dilengkapi pelan servis Volvo yang menawarkan sekurang-kurangnya setahun penyelenggaraan percuma.
Bagi model elektrifikasi, baki perlindungan waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun turut dikekalkan untuk pemilik baharu.
Bagi memudahkan proses pembelian, Volvo Car Finance menawarkan pakej pembiayaan dengan kadar faedah serendah dua peratus serta kemudahan kelulusan pinjaman pada hari yang sama.
Antara model bakal ditawarkan termasuk Volvo EX30, EC40, XC60, XC90, ES90 dan EX90. Kesemua model tersebut merangkumi pilihan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) dan SUV plug-in hybrid yang popular dalam rangkaian Volvo.
Dengan jumlah unit yang terhad kepada hanya 80 buah sepanjang dua hari acara berlangsung, Volvo menjangkakan sambutan tinggi daripada pembeli yang ingin memiliki kenderaan spesifikasi eksekutif pada harga lebih kompetitif.
Orang ramai yang berminat disaran membuat pendaftaran awal bagi mendapatkan slot temujanji sebelum acara berlangsung.
Acara Volvo Executive Car Sales akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang di Symphony Square, Menara Symphony, Petaling Jaya, Selangor.



