Buletin

VOYAH DREAMER – APAKAH INI MPV YANG PALING PANTAS DI MUKA BUMI INI?

Anda merupakan seorang yang cukup kaya, inginkan sebuah pengangkutan yang laju dan pantas tetapi dalam masa yang sama inginkan kenderaan tersebut mempunyai tahap keselesaan sebuah MPV mewah. Maklumlah, bila dah kaya ni biasanya saiz badan berukuran Panda dewasa ini memang payah nak keluar masuk ke dalam kereta sport kan.

Nah, di China telah pun wujud permintaan sang lelaki tersebut. Ini lah dia Voyah Dreamer, sebuah MPV bersaiz penuh tapi mempunyai kelajuan yang secukupnya untuk memenuhi nafsu kelajuan sang pemiliknya.

Voyah Dreamer ini telah pun membuat debut sewaktu acara Guangzhou Auto Show tahun sudah sebagai sebuah model konsep yang bakal diproduksikan secara massa. Pembuat yang ingin dikenali sebagai Voyah ini merupakan sub-brand kepada Dong-Feng Motor Corporation yang dimiliki oleh pemerintah China khusus untuk memasarkan model yang lebih premium.

Penampilan MPV bersaiz bagak ini barangkali dikejutkan dengan penampilan muka hadapan yang kelihatan seperti hantu gigi pada rekaan grilnya. Kalau terjumpa tengah jalan waktu malam boleh terkejut juga rasanya. Dan kebesaran MPV ini sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila mempunyai jarak panjang sehingga 5315 mm. Dan lebarnya pula 1985 mm. Cukup besar. Dan disebabkan kebesarannya yang luar biasa, maka sekiranya barisan ketiga tempat duduk digunakan, ianya masih mampu membawa sehingga empat buah bagasi bersaiz 24 inci.

MPV mewah sebegini sudah pasti penumpuannya adalah di bahagian penumpang belakang. Seperti biasa, Captain Seat sudah dipasang untuk keselesaan berserta dengan kerusi barisan ketiga yang turut tersedia. Walau bagaimanapun, permintaan untuk ultra mewah hanya tempat duduk sahaja di belakang turut boleh ditempah. Tak payah ceritalah segala yang keselesaan yang ada. Confirm lena sepanjang perjalanan.

Dan menggerakkan Voyah Dreamer ini diserahkan kepada dual motor elektrik yang dijana daripada pek bateri 88 kWh yang mana ianya mampu menghasilkan kuasa sehingga 620 Nm! Dengan kuasa tujahan sebanyak ini memungkinkan MPV ini memecut dari titik 0 hingga ke 100 km/j dalam tempoh 5.9 saat sahaja. Malah, jarak perbatuannya juga berupaya bergerak sehingga ke 600 km jauhnya.

Manakala satu lagi pilihan trenkuasa adalah jenis EREV, yang mana padanan enjin 1.5 turbo berserta pek bateri yang mampu menghasilkan kuasa 610 Nm akan tetapi berupaya mencatat perbatuan kilomoter yang lebih berbanding model yang satu lagi.

Voyah Dreamer ini kini sudah boleh ditempah dengan aras harga bermula Yuan 380,000 – 480,000 (RM252,122 – RM318,470). Entah apalah penerimaan Bani Cina di sana kan. Kalau Bani Melayu di tempat kita, campaklah MPV canggih dan moden yang lain, Vellfire juga yang menjadi pilihan hati.

BACA : WULING VICTORY – MPV BAHARU DARI CHINA MULA MENUNJUKKAN DIRINYA

BACA : HARGA MPV MEWAH LEXUS LM300h DIDEDAHKAN. RM1.3 JUTA DI CHINA?

Google ads

B K

Back to top button